News Archive
Kolokium Memperkasa Penyelidikan dan Inovasi – penyelidik UTHM kongsi kepakaran | Kolokium Memperkasa Penyelidikan dan Inovasi – penyelidik UTHM kongsi kepakaran |
|
|
|
Bagi mewujudkan medium perbincangan dan perkongsian ilmu untuk memperkasakan lagi penyelidikan dan inovasi di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu program Kolokium Memperkasa Penyelidikan dan Inovasi telah diadakan pada 5 Mei 2012 lalu bertempat di kampus induk UTHM.
Kolokium ini merupakan antara usaha untuk mewujudkan pemadanan kluster penyelidikan khasnya melibatkan para penyelidik muda dengan pusat-pusat kecemerlangan dan pusat-pusat Penyelidikan di UTHM. Majlis perasmian kolokium ini telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) selaku wakil rasmi Naib Canselor UTHM. Beliau juga telah dijemput menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Hala Tuju Penyelidikan dan Inovasi UTHM’. Dalam ucapannya, beliau menyeru semua warga penyelidik UTHM untuk turut sama berganding bahu meningkatkan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi melalui usaha mewujudkan pemadanan kluster penyelidikan, berusaha meningkatkan perolehan geran penyelidikan swasta dan antarabangsa dan mempergiatkan lagi aktiviti pengkomersilan. Selain itu, kolokium ini juga telah berjaya mewujudkan platform perkongsian ilmu antara para penyelidik dan panel penceramah jemputan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Antara penceramah yang diundang ialah Profesor Dr. Ruzairi Haji Abdul Rahim, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau telah berkongsi pengalaman dengan para peserta melalui ceramah yang disampaikan bertajuk ‘Universiti Penyelidikan: Pengalaman dan Strategi’. Dalam kolokium ini juga, forum berkaitan pengkomersilan telah diadakan dengan membincangkan tajuk “Pengkomersilan Hasil Penyelidikan IPTA: Isu & Cabaran”. Forum ini telah melibatkan beberapa panel jemputan iaitu Profesor Ir. Dr. Saparudin Ariffin, Dekan Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan UTHM, Dr. Maimunah Mohd Said dari Malay Chamber of Commerce Malaysia Johor, Encik Norazman Hussein, Timbalan Presiden Kanan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Profesor Dr. Maizam Alias, Dekan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan,UTHM. Dalam forum itu, Profesor Dr. Maizam telah berkongsi maklumat mengenai usaha-usaha pengkomersilan oleh institusi penyelidikan yang terdapat di United Kingdom. Maklumat tersebut merupakan hasil daripada lawatan beliau ke negara berkenaan awal tahun ini. Institusi yang dilawati beliau ialah Wolfson Centre di Universiti Brunel, Tun Abdul Razak Research Centre, Nanoscience Centre dan Institute of Manufacturing di Universiti Cambridge. Selain itu, perlaksanaan program pemadanan kluster penyelidikan antara penyelidik dan pusat-pusat kecemerlangan serta pusat-pusat penyelidikan UTHM juga telah diadakan. Staf-staf akademik yang pulang daripada cuti belajar telah mengambil peluang pada sesi ini untuk berkongsi maklumat berkaitan kepakaran mereka dan berpeluang melaksanakan kolaborasi penyelidikan di peringkat antarabangsa. Program ini juga turut memfokuskan usaha-usaha untuk meningkatkan pengkomersilan hasil penyelidikan dan inovasi universiti. Sejumlah 20 produk yang mewakili UTHM dalam ITEX 2012 yang berlangsung pada 17 hingga 19 Mei telah dibentangkan kepada wakil industri yang terdiri daripada Malay Chamber of Commerce Malaysia, Johor untuk dinilai dan seterusnya mendapatkan maklumbalas industri ke arah mewujudkan peluang dan kerjasama pengkomersilan. Semoga program seumpama ini akan dapat dianjurkan pada masa-masa akan datang bagi membantu memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan UTHM dalam penyelidikan dan inovasi. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program ini. Disediakan oleh, Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan |
| Prospective Students |
| Current Students |
| Alumni |