|
UTHM sambut meriah Hari Guru 2012 |
|
|
Sambutan Hari Guru 2012 anjuran Fakulti Pendidikan Teknikal dan
Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disambut
meriah pada 16 Mei lalu bertempat di kampus induk UTHM.
Pada 16
Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima
cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran
bagi negara Malaysia. Justeru, 16 Mei telah dipilih sebagai Hari Guru
dan disambut setiap tahun. UTHM turut berbangga kerana berpeluang
merealisasikan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Majlis sambutan
tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr.
Mohd Noh Dalimin.
Berucap di hadapan lebih 700 hadirin yang
sebahagian daripadanya merupakan pelajar program Diploma Pendidikan
Lepasan Ijazah (DPLI), Profesor Dato’ Dr Mohd Noh telah mengingatkan
bakal-bakal guru tersebut agar menjadikan keikhlasan bekerja sebagai
perkara utama dalam menunaikan tanggungjawab. Beliau berkata, seseorang
guru itu tidak akan mendapat kepuasan jika menganggap tugas sebagai
pendidik hanyalah sebagai satu kerjaya sama seperti pekerjaan lain.
“Guru
zaman sekarang lebih bertuah berbanding zaman sebelumnya. Pelbagai
insentif seperti pemberian elaun, kenaikan pangkat dan gaji diberi bagi
mengiktiraf sumbangan mereka mendidik anak bangsa. Justeru, gunakanlah
kelebihan yang diberi ini untuk bekerja dengan lebih bersungguh agar
kita semua dapat melahirkan insan berguna pada masa hadapan,” katanya.
Hadir
sama pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan
Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan
universiti. Majlis tersebut turut menyaksikan bacaan ikrar para guru,
penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Reka Cipta 2012 dan
diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan oleh para pelajar
DPLI.
Sambutan turut dimeriahkan dengan Festival Reka Cipta 2012
yang diadakan di Dewan Terbuka UTHM. Naib Canselor beserta
Pegawai-Pegawai Kanan universiti turut melawat ruang pameran yang
mempamerkan pelbagai hasil reka cipta para pelajar.
Bermula 9
Mei lagi, pelbagai aktiviti seperti pertandingan futsal, bola jaring,
boling, memasak dan gubahan telah direka dan dilaksanakan oleh warga
FPTV. Semua aktiviti yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi
hubungan sesama warga.
dikeluarkan oleh
Shafry Salim Pegawai Perhubungan Awam
|
|
Terakhir dikemaskini ( Isnin, 21 Mei 2012 )
|