Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow UTHM sambut meriah Hari Guru 2012
UTHM sambut meriah Hari Guru 2012 Print E-mail
Hear this article
Sambutan Hari Guru 2012 anjuran Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disambut meriah pada 16 Mei lalu bertempat di kampus induk UTHM. 
 
Pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara Malaysia. Justeru, 16 Mei telah dipilih sebagai Hari Guru dan disambut setiap tahun. UTHM turut berbangga kerana berpeluang merealisasikan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Majlis sambutan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin.

 
 
 
Berucap di hadapan lebih 700 hadirin yang sebahagian daripadanya merupakan pelajar program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Profesor Dato’ Dr Mohd Noh telah mengingatkan bakal-bakal guru tersebut agar menjadikan keikhlasan bekerja sebagai perkara utama dalam menunaikan tanggungjawab. Beliau berkata, seseorang guru itu tidak akan mendapat kepuasan jika menganggap tugas sebagai pendidik hanyalah sebagai satu kerjaya sama seperti pekerjaan lain.
 
 
 
 
“Guru zaman sekarang lebih bertuah berbanding zaman sebelumnya. Pelbagai insentif seperti pemberian elaun, kenaikan pangkat dan gaji diberi bagi mengiktiraf sumbangan mereka mendidik anak bangsa. Justeru, gunakanlah kelebihan yang diberi ini untuk bekerja dengan lebih bersungguh agar kita semua dapat melahirkan insan berguna pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Wahid Razzaly serta beberapa pegawai kanan universiti. Majlis tersebut turut menyaksikan bacaan ikrar para guru, penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan Reka Cipta 2012 dan diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan oleh para pelajar DPLI.

Sambutan turut dimeriahkan dengan Festival Reka Cipta 2012 yang diadakan di Dewan Terbuka UTHM. Naib Canselor beserta Pegawai-Pegawai Kanan universiti turut melawat ruang pameran yang mempamerkan pelbagai hasil reka cipta para pelajar.

Bermula 9 Mei lagi, pelbagai aktiviti seperti pertandingan futsal, bola jaring, boling, memasak dan gubahan telah direka dan dilaksanakan oleh warga FPTV. Semua aktiviti yang diadakan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama warga.
 
 

dikeluarkan oleh

Shafry Salim Pegawai Perhubungan Awam

Last Updated ( Isnin, 21 Mei 2012 )
 
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour

Last Update

Last update:
18 Mei 2013 10:26
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.