| Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2012 - galakkan amalan penyusuan susu ibu |
|
|
|
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Hospital Pantai Batu
Pahat (HPBP) telah bergabung tenaga menganjurkan majlis sambutan Minggu
Penyusuan Ibu Sedunia 2012 pada 30 Ogos lalu bagi meningkatkan lagi
peratusan penyusuan ibu di Malaysia.
Pengarah Pusat Kesihatan UTHM, Dr. Saidatun Nisak Derwis berkata program yang bertemakan ‘Menghayati Sejarah, Merancang Masa Hadapan' ini bertujuan untuk membuka minda wanita khususnya para ibu tentang kebaikan penyusuan ibu dan menjadikan ia sebagai satu tanggungjawab bagi seorang ibu untuk bayinya. "Program ini merupakan program usahama kali pertama diadakan antara UTHM dan HPBP. Melalui program ini, kami cuba mengajak para ibu menjadikan amalan penyusuan ibu sebagai suatu kebiasaan tidak kira masa mahupun tempat," katanya dalam satu sidang media. Majlis yang diadakan di Dewan Utama, Kampus induk UTHM ini disempurnakan oleh Profesor Datin Dr Maryati Mohamed, isteri kepada Naib Canselor. Turut hadir Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim; Ketua Pegawai Operasi HPBP, Encik Shafee Awang dan Pakar Kanak-Kanak & Pakar Laktasi HPBP, Dr. Hairin Anisa Tajuddin.
Satu
forum khas yang dipengerusikan oleh Dr. Hairin Anisa bertajuk
‘Menjadikan Penyusuan Ibu Suatu Norma Masyarakat' telah diadakan dan
melibatkan beberapa panel berpengalaman seperti Pakar Runding Hospital
Kuala Lumpur, Dr. Noorhaliza Yusof; Pegawai Pembangunan Masyarakat,
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Nor Azliza
Ismail; Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim, Haji Zakri
Awang dan Konsultan Nutrisi, GJ Runding Sdn. Bhd, Puan Fatimah Salim.
Turut diadakan satu slot ceramah bertajuk ‘Menyediakan Mentaliti Penyusuan Ibu Eksklusif' disampaikan oleh Puan Siti Asmah Moin daripada Persatuan Mentor Penyusuan Ibu Malaysia, pertandingan mewarna dan ‘sand art' oleh kanak-kanak, pertandingan persembahan kreatif penyusuan ibu, cabutan bertuah, pertunjukan fesyen ibu dan anak, pemeriksaan kesihatan percuma serta ekspo pameran dan jualan. |
|
| Last Updated ( Khamis, 06 September 2012 ) |
| Prospective Students |
| Current Students |
| Alumni |