Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow 1300 peserta sertai Perarakan Town and Gown Kali Ke-6
1300 peserta sertai Perarakan Town and Gown Kali Ke-6 Print E-mail
Hear this article

Sebanyak 27 kontinjen melibatkan 1300 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa agensi luar memeriahkan Perarakan Town and Gown yang diadakan di sekitar Bandar Batu Pahat, Johor pada 27 September lalu.

Perarakan konvokesyen yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institut pengajian tinggi pertama yang mengadakan perarakan seperti ini. 

Tujuan perarakan ini diadakan saban tahun adalah untuk mewar-warkan seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokesyen ke-14 UTHM yang akan berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober 2014 nanti.

Antara kontinjen luar yang menyertai perarakan tersebut ialah kumpulan pancaragam Sukarelawan Malaysia (RELA), Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) dan Melaka High School, Kontinjen Pasukan Sorak Boy of Straits (BOS), Kontinjen Lagenda Bola Sepak Johor dan Kontinjen Sekolah Angkat TIGS serta Sekolah Tinggi Batu Pahat.

Perarakan penuh warna warni ini bermula dari jalan Rahmat menuju ke Dataran Penggaram, Batu Pahat. Acara Kemuncak perarakan menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM kali ke-14 oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah Batu Bahat, Tuan Haji Ab. Wahab Ridwan. 

Turut diadakan, penyampaian hadiah tempat pertama hingga ketiga kepada kumpulan pemenang bagi acara perarakan yang dipertandingkan. Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional (FPTV) dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori umum manakala pasukan Kor Suksis pula juara bagi kategori Badan Beruniform.
  
Selain perarakan, majlis perasmian turut menampilkan artis jemputan iaitu penyanyi Nash untuk menggamatkan lagi suasana malam perarakan tersebut. Beberapa aktiviti sampingan turut diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara UTHM dengan masyarakat setempat. Antaranya ialah Klinik Bola kendalian Lagenda Bintang Bola Sepak Johor, Pameran Kembara Mahkota Johor dan Pameran Piala Liga Super, Perlawanan Bola Sepak Persahabatan serta sesi bersama bintang JDT.

Perarakan Town and Gown ini merupakan kali keenam dianjurkan oleh UTHM setelah berjaya menarik minat komuniti Batu Pahat untuk hadir memeriahkan acara yang diadakan. Memandangkan perarakan ini dijadikan produk pelancongan unik daerah Batu Pahat dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan bagi daerah ini, UTHM berhasrat akan terus komited menganjurkan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun akan datang.
 
 
 
Last Updated ( Khamis, 02 Oktober 2014 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.