Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Program UCE dekati Masyarakat melalui Kursus Kemahiran
Program UCE dekati Masyarakat melalui Kursus Kemahiran Print E-mail
Hear this article
BATU PAHAT: Hampir 100 penduduk Taman Cendana, Pasir Gudang Johor menyertai program Khidmat Masyarakat ‘University-Community Engagement (UCE)’ Rakan Komuniti anjuran Pusat Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 15 November lalu bertempat di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM.
 
Program UCE yang melibatkan dua kursus kemahiran iaitu Kursus Kemahiran Asas Pendawaian Elektrik dan Kursus Kemahiran Asas Binaan Bangunan ini adalah aktiviti Kokurikulum Berkredit bagi kesinambungan projek jangka panjang selama dua tahun yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada 23 Mei 2014 lalu di Taman Cendana, Pasir Gudang Johor. 

Bagi mencapai matlamat projek dalam menuju Taman Cendana ke arah pensijilan ISO 9001: 2008, elemen kemahiran yang merupakan salah satu daripada 10 elemen penting dalam mencapai standard ISO yang digariskan telah ditekankan dalam program kali ini. 
Justeru, penganjuran kursus ini bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran khususnya dalam pembinaan bata dan pendawaian elektrik bagi membolehkan mereka meningkatkan lagi kualiti kehidupan masing-masing. Peserta-peserta kursus telah dilatih dan dinilai dalam kemahiran asas tersebut dan seterusnya dianugerahkan Sijil Kemahiran oleh Kolej Komuniti Batu Pahat, Johor. 

Program yang mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandangan Pasir Gudang, Kolej Komuniti Batu Pahat, Pejabat Menteri Besar Johor dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Profesor Dr Hashim Saim. Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada penduduk Taman Cendana di atas komitmen penuh yang diberikan seperti yang dihasratkan oleh YAB Menteri Besar Johor.

“Saya sangat bersetuju program berbentuk kemahiran ini diteruskan lagi penganjurannya selaras dengan Rancangan Malaysia ke 11, 2016 nanti yang menyasarkan bidang TVET ini dijadikan satu agenda utama negara dalam memastikan masyarakat mempunyai kemahiran khusus dalam memenuhi keperluan negara,” katanya.

Turut hadir di Majlis Penutup, Dr Saifullizam Puteh selaku wakil rasmi Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, UTHM; Encik Mohd Norbi Ibrahim wakil rasmi Pengarah Kolej Komuniti Batu Pahat; Engr Muhammad Suhaimi Hj Sulong, Penyelaras Projek Rakan Komuniti UTHM, dan Encik Mohd Safiee Idris, wakil Pengarah Pusat Kokurikulum, UTHM selaku Penyelaras Kursus Khidmat Masyarakat UTHM.
 
Bertemakan “Mahasiswa Berbakti, Mahasiswa Cemerlang”, seramai 38 pelajar UTHM daripada Seksyen 5 Khidmat Masyarakat yang diketuai oleh saudara Muhammad Ridhwan Ramly selaku Pengarah Program, telah bertungkus lumus dalam memastikan program ini menjadi satu kenyataan, dalam mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat dan warga universiti bagi memantapkan dan meningkatkan semangat kekitaan, jati diri dan kemahiran insaniah pelajar.

Semester ini juga akan menyaksikan beberapa lagi pelaksanaan program UCE seumpama ini bagi mencapai matlamat Projek Rakan Komuniti dan dilaksanakan oleh pelajar-pelajar UTHM dalam kursus kurikulum berkredit. Bagaimanapun, program ini masih akan berfokus kepada komuniti sasaran iaitu penduduk-penduduk Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor. 

Pelaksanaan program seperti ini diharap dapat membantu penduduk-penduduk tersebut untuk lebih bersedia dalam menjadikan Taman Cendana sebagai taman contoh dengan mendapat persijilan ISO 9001:2008 pada tahun 2016, sekaligus dapat membantu negara meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.

Last Updated ( Rabu, 19 November 2014 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.