Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Dr. Mahadi sahut cabaran UTHM – terima lantikan tugas dari dua institusi pendidikan luar negara
Dr. Mahadi sahut cabaran UTHM – terima lantikan tugas dari dua institusi pendidikan luar negara Print E-mail
Hear this article

Dr. Muhammad Mahadi Abdul Jamil dari Jabatan Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteran Elektrik dan Elektronik (FKEE) berjaya mendapat pengiktirafan dan kepercayaan dari dua buah universiti luar negara iaitu University of Bradford (UoB), United Kingdom (UK) dan Abu Bakar Tafawa Balewa University (ABTBU), Nigeria apabila beliau dilantik sebagai Honorary Visiting Researcher (HVR) dan Visiting Professor  (VP). 

Pelantikan Dr. Muhammad Mahadi sebagai HVR di UoB adalah untuk tempoh selama dua tahun berkuatkuasa mulai 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016 dan dibawah tanggungjawab School of Engineering and Informatics, UoB, UK. Manakala untuk pelantikan sebagai VP di ABTBU adalah untuk tempoh satu tahun bermula tahun 2015. Pelantikan sebagai VP ini adalah dibawah tanggungjawab Faculty of Engineering and Engineering Technology, ABTBU.

Menurut Dr. Muhammad Mahadi, pelantikan-pelantikan yang diterima oleh beliau ini adalah merupakan hasil kerja keras yang berstrategi dan menyeluruh kepimpinan-kepimpinan UTHM khususnya Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor di dalam memastikan kecemerlangan dan visibiliti UTHM sentiasa bergerak di dalam ruang pandangan mata umum di peringkat negara dan juga di peringkat antarabangsa. Beliau secara peribadi berpandangan bahawa UTHM memiliki sesuatu nilai tambah yang terbaik berbanding dengan institusi pengajian tinggi yang ada di dalam Malaysia. Justeru, beliau berusaha melonjakkan diri untuk memanipulasi dan bekerja dengan kelebihan yang UTHM miliki ini.

        Sebagai pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kepakaran khusus kejuruteraan elektronik perubatan dan kini sedang berusaha untuk memperkayakan bidang fokus penyelidikannya iaitu Cell Engineering, Telemedicine, Implant Design and Technology, Home Nursing dan Biocompatibility Study, beliau berpendapat adalah menjadi satu cabaran yang besar bagi beliau untuk menunaikan kepercayaan yang diberikan oleh kedua-dua buah universiti luar negara ini. Apatah lagi dengan keperluan dan kehendak UoB yang usianya bakal mencecah 50 usia penubuhan; sudah tentu piawaian, prosedur dan penanda arasnya adalah lebih tersusun dan tinggi harapannya. 

Manakala bagi ABTBU pula, beliau turut menjangkakan akan menemui kesukaran di peringkat awal urusannya kerana beliau sehingga kini belum pernah berurusan secara langsung dengan mana-mana pengurusan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi di Benua Afrika.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa dengan keazaman yang ada dan di atas nama baik UTHM, semua kemungkinan yang bakal dilalui akan beliau selesaikan dengan baik sesuai dengan moto Universiti;  “Dengan Hikmah Kita Meneroka”. Menurut beliau lagi, bahawa dengan pemilikan aset berupa pengalaman lalu hasil daripada pelantikan-pelantikan yang diterima beliau sebelum ini seperti pelantikan sebagai Ketua Jabatan, Jabatan Kejuruteraan Elektronik, FKEE, pelantikan sebagai Profesor Pelawat Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Teknikal, Jabatan Tenaga Manusia, pelantikan sebagai Programme Assessors  Universiti Kuala Lumpur dan pelantikan sebagai Ahli Panel Penilai Program Agensi Kelayakan Malaysia, beliau dengan yakin menjangkakan tanggungjawab-tanggungjawab ini mampu beliau tunaikan.

Di akhir temubual, beliau juga menyatakan bahawa untuk melunaskan kepercayaan-kepercayaan yang diberikan oleh UoB dan ATBTU ini, beliau sebenarnya amat memerlukan sokongan, bantuan idea, pandangan dan penasihatan daripada semua staf-staf akademik yang lain bukan sahaja dari dalam Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik malahan juga daripada Fakulti-Fakulti lain. 

UTHM mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Muhammad Mahadi Abdul Jamil atas pelantikan yang diterima dan berharap beliau dapat menggalas tanggung jawab yang diterima dengan jayanya.
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.