Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow NATIONAL GEOFEST 2014 galak pelajar dalami Bidang Geoteknik
NATIONAL GEOFEST 2014 galak pelajar dalami Bidang Geoteknik Print E-mail
Hear this article


Pusat Kajian Tanah Lembut (RECESS) bersama Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program ‘National Geotechnical Engineering Festival 2014’ (National GEOFEST 2014) pada 5 dan 6 November lalu bagi menggalakkan pelajar-pelajar pra-siswazah untuk berinteraksi dan menambah ilmu pengetahuan dalam bidang geoteknik.

Program dengan kerjasama Pejabat Penyelidikan, Inovasi, Perundingan dan Pengkomersialan (ORRIC), Persatuan Pelajar-pelajar Kejuruteraan Awam (PPA) dan Pelajar-pelajar Lepasan Ijazah RECESSS juga diadakan bagi memberi peluang kepada mereka mempromosikan hasil penyelidikan dan inovasi yang mereka lakukan sebelum ini. Program ini juga merupakan satu platform kepada pelajar bukan sahaja untuk berkongsi idea-idea mengenai geoteknik, tetapi juga untuk mengasah kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritikal, serta meningkatkan kemahiran dalam membentangkan pandangan dan idea-idea dengan lebih cekap dan professional.

National GEOFEST 2014 yang bertemakan "Geoteknologi Tanah Lembut" ini adalah lanjutan daripada program GEOFEST yang seringkali dianjurkan oleh FKAAS. Oleh kerana maklum balas yang diterima agak memberansangkan, GEOFEST telah menjadi acara tahunan UTHM, sejak ianya mula dianjurkan pada tahun 2009, sehinggalah tercetusnya penganjuran National Geofest 2014 ini. Program ini turut mendapat penyertaan yang menggalakkan bukan saja dari UTHM tetapi juga dari institut pengajian tinggi lain seperti Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Putra Malaysia. 

Penasihat bagi program ini adalah Ketua Pusat Kajian Tanah Lembut (RECESS), iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hj. Ismail Hj. Bakar dan dibantu oleh Putri Nur Farah Izzati Binti Norazam (pelajar tahun akhir Kej.Awam) yang bertindak sebagai Pengarah Program dan juga semua anggota sekretariat dan ahli jawatankuasa.

Festival yang berlangsung selama dua hari ini diselitkan dengan beberapa aktiviti seperti slot ceramah  bertajuk “Softsoil in Offshore Geotechnic” dan pertandingan penilaian projek-projek pelajar yang melibatkan beberapa kategori anugerah seperti iaitu Best Model, Best Presenter, Best Poster dan Best of the Best Project. Para pemenang dianugerahkan pingat seperti pingat emas, perak dan gangsa bersama empat piala pusingan. Pertandingan tersebut menyaksikan peserta UTHM memenangi dua pingat Emas, tiga pingat Perak dan empat Gangsa.

Majlis Perasmian dan Penyampian Hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), MOSTI, Dr. Zulkifli Mohamed Hashim selaku wakil rasmi Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Wahid Razally dan Dekan FKAAS, Profesor Madya Dr. Abdul Halid Abdullah.

Penganjuran festival ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan turut mendapat penajaan luar seperti CIDB, Mohd.Asbi Associates Sdn. Bhd, Probase Sdn. Bhd., Akar Indah Sdn. Bhd dan GDS Equipment Sdn Bhd.

 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.