Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Program UCE FSTPi anjur Bengkel Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi
Program UCE FSTPi anjur Bengkel Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi Print E-mail
Hear this article
BATU PAHAT: Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial di bawah Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pusat Kokurikulum menganjurkan program Khidmat Masyarakat ‘University-Community Engagement (UCE)’ yang dianjurkan dalam bentuk Bengkel Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi pada 22 November lalu bertempat di kampus induk. 

Program UCE ini merupakan rangkaian aktiviti yang dilakukan bagi meneruskan kesinambungan projek jangka panjang selama dua tahun yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin pada 23 Mei 2014 yang lalu di Taman Cendana, Pasir Gudang Johor. 

Bagi mencapai hasrat komuniti Taman Cendana ke arah mendapatkan pensijilan ISO 9001: 2008, elemen kepimpinan diletakkan sebagai salah satu elemen penting yang diberi penekanan dan tumpuan. Seramai 40 peserta yang terdiri daripada Pengerusi, Ketua-ketua dan Setiausaha Blok Taman Cendana telah menyertai bengkel ini. 

Sebanyak tiga modul iaitu Modul Ketua dan Pengikut, Modul Kerja Berkumpulan dan Modul Pengurusan Organisasi Berkesan telah dilaksanakan oleh pensyarah Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial, Profesor Dr. Rosman Md. Yusoff, Profesor Madya Dr. Hussain Othman dan Tuan Haji Abdullah Sulaiman. 

Ketiga-tiga modul ini disusun secara komprehensif dengan matlamat untuk memberi pendedahan kepada kepimpinan Taman Cendana mengenai kaedah menguruskan organisasi dengan lebih efisyen dan berketrampilan. Selain menjelaskan dengan lebih operasional mengenai peranan ketua, pengikut dan perlunya kerjasama antara keduanya dalam mewujudkan organisasi yang berkesan. 

Majlis Penutup program yang mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandangan Pasir Gudang, Pejabat Menteri Besar Johor dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah disempurnakan oleh Dr. Mohamad Zaky Noh, Menjalankan Tugas Dekan, FSTPi UTHM. 

Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada kepimpinan Taman Cendana di atas komitmen penuh yang diberikan seperti yang dihasratkan oleh YAB Menteri Besar Johor. Beliau turut mengingatkan kepada semua agar berusaha untuk mengekalkan kualiti selepas pensijilan berjaya dicapai kelak.

Turut hadir dalam Majlis Penutup, Dr Shah Rul Anuar Nordin, Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial dan Engr Muhammad Suhaimi bin Hj Sulong selaku wakil Pengarah Pusat Kokurikulum dan Dr. Khairunesa Hj. Isa selaku Penyelaras Program Bengkel Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi. 

Semua peserta diberikan Sijil Penyertaan dan cenderahati sumbangan dari Pusat Kokurikulum. Sementara itu, sebagai tanda sokongan dan kenang-kenangan pihak penganjur program turut memberikan bunting kepada wakil Taman Cendana, Encik Sarbini Zain yang bertulis perkataan “ Taman Cendana Ke Arah Mendapatkan Pensijilan ISO 9001 : 2008”.
Last Updated ( Ahad, 07 Disember 2014 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.