Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Bank Muamalat sumbang RM20,000 kepada UTHM – bantu mangsa banjir Kuala Lipis
Bank Muamalat sumbang RM20,000 kepada UTHM – bantu mangsa banjir Kuala Lipis Print E-mail
Hear this article
Batu Pahat, 9 Feb – Bank Muamalat Malaysia Berhad menyerahkan cek berjumlah RM20,000 kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kuala Lipis, Pahang.

Penyerahan cek tersebut dilakukan oleh Pengurus Cawangan bahagian Selatan, Encik Shahruddin Abd Aziz kepada Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Omar dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu.

Shahruddin berterima kasih kepada UTHM atas inisiatif yang diambil selama ini bagi membantu mangsa banjir tanpa mengira tempat dan lapisan masyarakat. Keprihatinan yang ditonjolkan oleh universiti ini telah menggamit perhatian pihaknya untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

“Bank Muamalat bukanlah satu institusi kewangan yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi kami juga sangat mementingkan penerapan nilai-nilai Corporate Social Responsibility (CSR) dalam organisasi kami. Atas dasar inilah hari ini pihak kami terpanggil untuk turut sama menghulurkan bantuan, ” katanya.

Menurut beliau lagi, institusi terbabit sebelum ini turut prihatin terhadap kakitangannya yang menjadi mangsa kepada bencana ini. Selain sumbangan kewangan, pihaknya juga membuat kutipan amal berupa pakaian dan barangan keperluan harian dalam kalangan staf untuk disalurkan kepada mereka yang terlibat.

Dalam pertemuan itu juga, Abdul Razak menyatakan bahawa UTHM kini sedang merancang untuk membina “Rumah Komuniti” di Kuala Lipis bagi menempatkan mangsa-mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana tersebut. Rumah Komuniti yang dimaksudkan ialah satu rumah sementara yang dibina khas untuk penginapan mangsa banjir sehinggalah mereka mendapat bantuan tetap daripada pihak kerajaan. Sumbangan yang diterima dari Bank Muamalat ini akan digunakan untuk pembinaan rumah transit ini.

Jelasnya lagi, rumah tersebut direka bentuk dengan teliti oleh tenaga pakar near UTHM mengikut kesesuaian semasa agar ianya lebih praktikal untuk digunakan dalam jangka masa yang panjang.

 “Selain menempatkan mangsa-mangsa banjir, rumah yang menelan belanja kira-kira RM30,000 itu juga akan dijadikan ‘homestay’ pada masa akan datang bagi menjana pendapatan untuk kebajikan penduduk di daerah itu,” katanya.

UTHM baru-baru ini turut menerima permohonan daripada pihak Giat MARA Kuala Lipis untuk menghantar pelajarnya bagi membantu kerja-kerja pembinaan rumah tersebut. Pihak universiti menyambut baik permohonan itu dan bercadang akan memulakan kerja-kerja pembinaan dalam tempoh terdekat ini.
 
 
Last Updated ( Khamis, 12 Februari 2015 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.