Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Hari Terbuka MyFKMP erat hubungan UTHM dengan Masyarakat
Hari Terbuka MyFKMP erat hubungan UTHM dengan Masyarakat Print E-mail
Hear this article
 
myfkmp-open-day.jpg 
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Hari Terbuka MyFKMP 2015 pada 10 Mei lalu bertempat di Kompleks Teknologi FKMP Blok G2, kampus induk.

Hari Terbuka MyFKMP ini telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu untuk mewujudkan peluang berinteraksi dan mengukuhkan hubungan antara seluruh warga FKMP dengan warga universiti, rakan-rakan industri, warga politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan tinggi serta para pelajar di peringkat rendah dan menengah. 

Program yang cukup meriah dengan kehadiran pengunjung ini telah dapat membuka peluang kepada warga fakulti untuk berkongsi maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan, meliputi program-program pengajian yang ditawarkan, aktiviti penyelidikan dan inovasi yang dilaksanakan, penerbitan yang dihasilkan serta bidang kepakaran yang boleh dikongsi bersama dengan rakan-rakan industri serta seluruh masyarakat seperti yang dihasratkan oleh UTHM.

Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin  dan turut dihadiri oleh para pegawai Universiti dan tetamu jemputan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah merakamkan ucapan tahniah kepada warga FKMP atas kejayaan menganjurkan program ini serta amat bertepatan dengan meraikan kejayaan FKMP memperolehi kedudukan antara 300 terbaik di dunia dalam penarafan World University Ranking untuk subjek Mechanical, Manufacturing and Aeronautic. 

FKMP juga turut merintis peluang mengadakan kolaborasi bersama pihak industri melalui pelantikan penasihat industri bagi kumpulan fokus penyelidikan. Majlis penyerahan watikah pelantikan kepada Penasihat Industri Kumpulan Fokus Penyelidikan FKMP telah diadakan dalam program ini bertujuan membantu mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat dalam rangka kerja penyelidikan berorientasikan kehendak pasaran dan juga industri. Sejumlah 24 Penasihat Industri untuk 21 kumpulan Fokus Penyelidikan FKMP telah dilantik untuk tujuan ini. 

Turut diadakan beberapa sesi pelancaran iaitu pelancaran MyFKMP International Mobility Program (MyFIMP), Alumni Street, bahan-bahan terbitan FKMP 2015 dan pelancaran galeri FKMP. Naib Canselor serta semua tetamu turut mengambil kesempatan mengadakan lawatan ke Alumni Street dan ruangan galeri FKMP. Usaha ini dilihat telah dapat mewujudkan suasana persekitaran bermaklumat untuk merangsang motivasi dan komitmen seluruh pelajar agar lebih berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. 

Selain itu, pelancaran program mobiliti FKMP dengan jenama MyFIMP telah membuka dimensi baharu penganjuran program pelajar di peringkat global dan diharap dapat memberikan impak terhadap kelangsungan dan kejayaan program ini untuk tahun-tahun yang seterusnya. Pada tahun ini, MyFIMP mensasarkan untuk melaksanakan mobiliti ke 10 buah negara melibatkan sejumlah 227 orang pelajar. Pada program ini juga FKMP turut berkongsi maklumat dengan seluruh warga universiti berkaitan bahan-bahan penerbitan FKMP untuk tahun 2015 serta pameran produk-produk hasil penyelidikan yang dihasilkan melalui kerjasama pintar dengan pihak industri. 

Program Hari Terbuka MyFKMP 2015 turut diserikan dengan pertandingan Roket Air dan Lego Robot yang melibatkan 25 buat sekolah rendah dan menengah di sekitar daerah Batu Pahat, Muar, Segamat, Mersing dan Kulaijaya. Selain itu, aktiviti “MyFKMP Treasure Hunt” juga telah mendapat sambutan pelajar-pelajar sekolah di peringkat menengah di mana mereka berpeluang mengenali FKMP dengan lebih dekat disamping mendapat pendedahan terhadap bidang kejuruteraan Mekanikal. Kehadiran warga sekolah ke UTHM ini diharap akan dapat menyuntik semangat mereka untuk menjejakkan kaki ke menara gading pada suatu hari nanti.
 
hari-terbuka-myfkmp.jpg
 
hari-terbuka-fkmp-2015.jpg
 
Seluruh warga FKMP merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program ini serta bersama-sama memeriahkan program yang dianjurkan.

Last Updated ( Khamis, 21 Mei 2015 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.