Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow UTHM jalin kerjasama dengan Universitas Telkom, Bandung
UTHM jalin kerjasama dengan Universitas Telkom, Bandung Print E-mail
Hear this article
moa uthm dan telkom university.jpg

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalinkan hubungan kerjasama dengan Universitas Telkom, Bandung, Indonesia dalam beberapa bidang bagi membolehkan kedua-dua institusi ini mendapat manfaat secara bersama. 

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd  Noh Dalimin bersama delegasinya baru-baru ini mengunjungi Universitas Telkom (Tel-U) dalam lawatan kerja selama dua hari ke Bandung, Indonesia pada 14 hingga 15 Jun lalu.

Tujuan kunjungan dibuat adalah untuk melihat perkembangan industri kreatif di Indonesia di samping bertukar ilmu pengetahuan dan pengalaman mengenai pengurusan universiti. Untuk rekod, UTHM telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOA) bersama Tel-U pada 4 Jun lalu yang melibatkan beberapa rancangan kerjasama khususnya dalam bidang penyelidikan, penulisan jurnal dan pertukaran pelajar. Justeru, kunjungan ke institusi itu juga adalah bagi memenuhi salah satu agenda MOA yang telah dibuat.

Lawatan kerja ke Universitas Telkom melibatkan dua fakulti iaitu Fakultas Rekayasa Industri (FRI) dan juga Fakultas Industri Kreatif (FIK) selain turut melawat Pejabat Rektorat Tel-U. Turut serta dalam lawatan tersebut Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Profesor Madya Dr. Nazri Mohd Nawi dan Pengarah Pejabat Antarabangsa, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Samad.

Universitas Telkom atau singkatannya Tel-U adalah sebuah institut perguruan tinggi swasta yang terletak di selatan Kota Bandung, Jawa Barat. Tel-U merupakan gabungan dari empat institusi yang berada di bawah badan penyelenggara Yayasan Pendidikan Telkom (YPT) iaitu Institut Teknologi Telkom (IT Telkom), Institut Manajemen Telkom (IM Telkom), Politeknik Telkom, dan Sekolah Tinggi Seni Rupa dan Desain Indonesia Telkom (STISI Telkom).

Mengikut perancangan, Tel-U juga akan  menghantar enam orang stafnya selepas ini untuk melanjutkan pelajaran ke UTHM di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Mereka bakal ditempatkan di FSKTM dan juga Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP).

Wakil Dekan Fakultas Rekayasa Industri, Rahmat Saidudin ketika ditemubual berkata Tel-U memilih UTHM sebagai destinasi untuk stafnya menyambung pelajaran adalah kerana UTHM merupakan salah satu institusi yang sangat dikenali di samping mempunyai kualiti pengajaran dan pembelajaran yang sangat baik. 

Satu perkongsian ilmu yang diadakan semasa pertemuan tersebut turut menyaksikan Profesor Datuk Mohd Noh menyampaikan syarahan bertajuk “Peningkatan Kualiti Universiti Serantau : Malaysia” dan juga “The Future Of Higher Education: How Technology Will Shape Learning.”  

Sementara itu Profesor Datuk Mohd Noh turut dibawa melawat ke tapak Pameran Tugasan Akhir Pelajar FIK bertemakan “21 Hulu 17 Hilir,” yang mempamerkan 17 karya filem, animasi dan juga persembahan grafik. Turut hadir wakil Rektor 1 Tel-U, Dr. Ir. Heroe Wijanto dan Dekan FRI, Dr. Ir. Dida Dyah Damayanti.

Dalam lawatan kerja tersebut, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh juga mengadakan pertemuan dengan  Gabenor Jawa Barat, H. Ahmad Heryawan di kediaman rasminya pada 15 Jun lalu. Beberapa perkara telah diutarakan dalam pertemuan itu termasuk hasrat Mohd Noh untuk menjemput beliau ke Majlis Konvokesyen ke-15 UTHM yang akan berlangsung pada Ogos nanti. Manakala H. Ahmad pula menyatakan cadangannya untuk menghantar pelajar tahfiz Al-Quran untuk mengikuti pengajian peringkat PhD di UTHM.

Kunjungan seperti ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua universiti khususnya dan juga kedua-dua negara amnya.
Last Updated ( Isnin, 29 Jun 2015 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.