Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow UTHM bantu Mangsa Gempa Bumi Sabah
UTHM bantu Mangsa Gempa Bumi Sabah Print E-mail
Hear this article

Kejadian gempa yang melibatkan gegaran berkekuatan 6.0 pada skala Richter berpusat di 6.1 utara, 116.6 timur, kira-kira 16 kilometer di barat daya Ranau pada 5 jun lalu menjadi dugaan besar kepada rakyat Sabah apabila beberapa tempat di negeri ini terjejas teruk.

Gempa yang dikesan di kedalaman 54 kilometer di bawah tanah itu dirasai di sekitar Ranau, Tambunan, kawasan pedalaman dan pantai barat termasuk Tuaran, Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota Belud. Gegaran kuat itu juga turut meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa yang terdiri daripada pendaki dan malim gunung.

Rentetan daripada kerosakan yang berlaku, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terpanggil untuk turut sama membantu mangsa-mangsa gempa dengan menghantar 30 Mahasiswa Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) yang diketuai Dekannya, Profesor Madya Sr. Dr. David Martin @ Daud ke dua buah kampung di Kota Belud dan Kundasang.

Program yang diberi nama “Khidmat Masyarakat Kinabalu 2015” ini adalah program berbentuk kebajikan dan silang budaya yang telah dilaksanakan oleh FPTP dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sabah, UTHM pada 9 hingga 11 Julai lalu bertempat di Kampung Kiau Toburi, Kota Belud dan Kampung Mesilau, Kundasang.

Bagi mengumpul sumbangan dari warga universiti, kumpulan khidmat masyarakat terbabit telah menggerakkan usaha mencari tabungan sebulan lebih awal dari tarikh program untuk disalurkan kepada mangsa gempa dan banjir lumpur di kedua-dua daerah tersebut.

19 keluarga yang terjejas di Kampung Kiau Tobari menerima sumbangan berbentuk kewangan dan barang keperluan memandangkan majoriti kediaman penduduknya mengalami kerosakan teruk terutamanya di bahagian lantai, dinding dan siling yang menuntut mereka berpindah ke kawasan yang lebih selamat. Daripada jumlah tersebut lapan buah rumah tidak dapat dihuni, manakala selebihnya hanya dapat dihuni pada waktu siang sahaja.

Sementara itu, Kampung Mesilau pula mencatatkan hanya dua buah keluarga terjejas teruk akibat hakisan banjir lumpur pada tebing-tebing binaan rumah. Mangsa turut menerima sumbangan kewangan bagi membantu mereka membeli barangan keperluan harian dan sebagai persediaan menyambut hari raya yang bakal menjelang. Pada masa yang sama, aktiviti gotong royong menyediakan juadah berbuka puasa bersama penduduk kampung juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan yang terjalin.

Selain sumbangan kewangan dan barang-barang keperluan, kumpulan khidmat masyarakat tersebut juga memberi sokongan moral dan motivasi kepada penduduk Kampung Kiau Tobari  dan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Kiau 1 (SKK1) yang bakal menduduki Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR). Manakala dalam usaha mewujudkan komunikasi dua hala antara penduduk kampung, satu sesi perkongsian pengalaman dan pendapat juga diadakan bagi mengurangkan beban emosi mangsa.

Guru Besar, Encik Goromon Rongot berkata bangunan SSK1 terjejas teruk akibat banjir lumpur manakala persekitarannya berdebu sehingga menjejaskan kesihatan sekaligus memberi kesan kepada mentaliti dan disiplin pelajar. Justeru, bantuan yang disalurkan oleh UTHM ini sangat bermakna kepada penduduk kampung yang sememangnya menunggu bantuan seumpama itu.

Turut diadakan satu sesi ceramah berkaitan keselamatan dan pendawaian bertujuan untuk memberi input yang berguna kepada para penduduk, selain slot perkongsian ilmu mengenai binaan awam dalam konteks Sains yang dikendalikan oleh mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), UTHM.

Bagi merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat luar bandar, khidmat masyarakat seperti ini dilihat dapat memberi impak positif terhadap aktiviti silang budaya dan pembangunan sahsiah pelajar. Program ini juga dapat meningkatkan lagi sikap toleransi dalam kalangan masyarakat selain mewujudkan sikap bantu membantu antara satu sama lain. UTHM bercadang akan meneruskan bantuan seumpama ini pada masa akan datang tanpa mengira tempat, kaum mahupun agama.

 

 
 
Last Updated ( Isnin, 03 Ogos 2015 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.