Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow 1000 peserta sertai Perarakan Town and Gown Kali Ke-7
1000 peserta sertai Perarakan Town and Gown Kali Ke-7 Print E-mail
Hear this article

      
Sebanyak 17 kontinjen melibatkan 1000 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa agensi luar telah memeriahkan Perarakan Town and Gown yang diadakan di sekitar Bandar Batu Pahat, Johor pada 19 September lalu.

Perarakan konvokesyen yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institut pengajian tinggi pertama yang mengadakan perarakan seperti ini. 

Tujuan perarakan ini diadakan saban tahun adalah untuk mewar-warkan seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokesyen ke-15 UTHM yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober 2015 nanti.

Uniknya perarakan kali ini menampilkan kontinjen berimejkan kebudayaan pelbagai etnik seperti Zapin, Hamdolok, Bangra, Tarian Singa dan Yoyo selain penyertaan daripada kontinjen luar yang melibatkan kumpulan pancaragam Sukarelawan Malaysia (RELA), Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Mengkibol, Kluang.

Perarakan yang bertemakan “Perarakan dalam Warna Budaya” ini bermula dari jalan Rahmat menuju ke Dataran Penggaram, Batu Pahat. Hampir 5000 penduduk turun menyaksikan perarakan penuh warna warni itu di samping berhibur bersama  dengan artis jemputan Jay Jay yang terkenal dengan lagu “Joget Angan tak Sudah”. Sementara itu, persembahan tarian dan nyanyian dari Kelab Warisan UTHM turut menggamit perhatian pengunjung yang hadir pada malam tersebut.

Acara Kemuncak perarakan menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM kali ke-15 oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah Batu Bahat, Tuan Haji Mohd Halim Hasbullah, disaksikan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.

Perarakan Town and Gown ini merupakan kali ketujuh dianjurkan oleh UTHM setelah berjaya menarik minat komuniti Batu Pahat untuk hadir memeriahkan acara yang diadakan. Memandangkan perarakan ini dijadikan produk pelancongan unik daerah Batu Pahat dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan bagi daerah ini, UTHM berhasrat akan terus komited menganjurkan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun akan datang.

 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.