Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow UTHM wujudkan Pasar Terapung Pertama Di Malaysia
UTHM wujudkan Pasar Terapung Pertama Di Malaysia Print E-mail
Hear this article

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya memperkenalkan perniagaan berkonsepkan Pasar Terapung pertama di Malaysia yang diadakan di Jeti  Panchor, Muar, Johor pada 16 Disember lalu.

Program ini merupakan anjuran bersama Pejabat Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat, Pejabat Pentadbiran Pagoh, Kolej Kediaman Pagoh Jaya dengan kerjasama Persatuan Nelayan Parlimen Pagoh dan Komuniti Kampung Panchor.

Pasar Terapung yang menjual barang-barang mentah dan barang kegunaan harian ini diwujudkan bertujuan mempromosikan kawasan Panchor khususnya kawasan Jeti kepada orang ramai agar dapat menjadi satu ‘trademark’ dan tarikan tersendiri kepada pengunjung.

Mengikut perangkaan, Panchor akan dipenuhi kira-kira 10 000 pelajar pada tahun 2017. Ini kerana Pagoh akan dijadikan Hab Pendidikan manakala kawasan sekitarnya  pula akan dibangunkan untuk dihuni oleh masyarakat terutamanya pelajar yang akan menetap di kawasan tersebut. Untuk rekod, sebanyak empat buah universiti iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Politeknik Pagoh dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bakal di bangunkan di Pagoh.

Pasar Terapung ini adalah hasil cetusan idea Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Hj Omar, Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat), UTHM yang sentiasa mencari  idea dan peluang untuk membangunkan kawasan terbabit di samping menggalakkan komuniti Panchor mengambil langkah proaktif dalam menjalankan perniagaan di Jeti Panchor yang dapat mendatangkan keuntungan sekali gus mempromosikan kawasan terbabit.

Untuk pertama kali penganjurannya, Pasar Terapung ini telah disertai oleh pengusaha-pengusaha bersama 12 sampan yang disediakan untuk aktiviti jual beli barang dengan bantuan penuntut UTHM. Antara barang-barang basah yang dijual ialah pelbagai jenis ikan, sayur-sayuran dan buah-buah termasuk kerepek, nasi bungkus dan kuih-muih. Selain itu, kira-kira 20 gerai yang berkonsepkan ‘mini karnival’ turut dibuka di perkarangan jeti oleh pengusaha pasar tani yang menjual pelbagai jenis juadah serta barangan keperluan harian.

Sementara itu, 150 orang penuntut UTHM Kampus Pagoh turut memeriahkan lagi suasana Pasar Terapung dengan pelbagai aktiviti bersama komuniti Kampung Panchor. Antara aktiviti yang dilaksanakan antaranya ‘Panchor River Cruise’ yang pertama diadakan di Jeti Panchor untuk menarik minat orang ramai dari segenap lapisan masyarakat. Keseronokan pengunjung menaiki bot bersiar-siar sambil menikmati keindahan Sungai Panchor jelas terpancar di wajah masing-masing. Aktiviti ini mendapat kerjasama penuh daripada Persatuan Nelayan Parlimen Pagoh.

Turut diadakan, aktiviti sukan seperti boling buah kelapa, pertandingan futsal dan kerusi muzik bagi menambahkan kemeriahan program Pasar Terapung di samping merapatkan hubungan antara penuntut UTHM dan penduduk Kampung Panchor. Penduduk kampong turut mencuba nasib melalui aktiviti ‘Fun Fair’ seperti baling tin, giant bubbles dan baling gelung selain acara karaoke yang mendendangkan lagu-lagu pilihan masing-masing.

Manakala majlis penutup program telah disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh, DUN Jorak. Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa idea Pasar Terapung yang diinspirasikan dari Negara Thailand ini merupakan satu idea yang cukup bernas dan mampu menarik orang ramai dari seluruh semenanjung Malaysia untuk datang dan merasai sendiri pengalaman membeli barang di Pasar Terapung yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia.

“Saya melihat ini adalah satu titik permulaan yang amat baik bagi semua pihak untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam mempromosikan kawasan Jeti Panchor kepada masyarakat, bukan sahaja di dalam negara malah di negara luar juga,” katanya.

Turut hadir di majlis perasmian, Encik Abd Hamid Yusof, Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat; Profesor Madya Dr Khairul Azman Mohd Suhaimy, Pengetua Kolej Kediaman Pagoh; Tn Hj Ajis Md Seman, Ketua Kampung Panchor; Encik Ismail Manaf, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Parlimen Pagoh dan Engr. Muhammad Suhaimi Hj Sulong, Pengarah Program merangkap Ketua Jabatan Pembangunan Sosial Komuniti. ~Technically Above the Rest

Last Updated ( Ahad, 10 Januari 2016 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.