Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow UTHM tubuh dua Entiti Akademik Baharu
UTHM tubuh dua Entiti Akademik Baharu Print E-mail
Hear this article
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menubuhkan dua entiti akademik baharu iaitu Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah (TRANSFORM) serta Pusat Pengajian Bahasa. Penubuhan kedua-dua entiti akademik ini telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada Disember 2015 yang lalu.

TRANSFORM ditubuhkan bertujuan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan, perundingan dan penerbitan dalam bidang transformasi sosial dan pembangunan wilayah dan bagi menjana pendapatan untuk universiti melalui penyelidikan kontrak, perundingan dan program latihan.

Pusat ini juga adalah untuk mewujudkan jaringan kepakaran dalam bidang transformasi sosial dan pembangunan wilayah di peringkat nasional dan global di samping menawarkan program pasca siswazah dan latihan.
 
Penubuhan TRANSFORM juga akan terlibat dalam penawaran program dan kursus, penyelidikan, perundingan dan penerbitan. Program pengajian di peringkat Pasca Ijazah yang akan ditawarkan dengan kerjasama Fakulti Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan adalah Doktor Falsafah Sains Secara Penyelidikan dan  Sarjana Sains Secara Penyelidikan. TRANSFORM juga akan menawarkan kursus pendek seperti Pengurusan Strategik, Pengurusan Perubahan  dan Pembangunan Kepimpinan.

Selain itu, TRANSFORM akan terlibat secara aktif dalam aktiviti penyelidikan, perundingan dan penerbitan dalam bidang tadbir urus kendiri (self-governance), jalinan komuniti (community engagement), pemerkasaan komuniti (community empowerment) dan pembangunan kepimpinan.

Manakala Pusat Pengajian Bahasa UTHM atau Centre for Language Studies (CLS) pula ditubuhkan bagi memberi ruang kepada UTHM untuk mengendalikan program baharu untuk masa hadapan seperti program peringkat Sarjana Muda, Sarjana, dan PhD dalam bidang pengajian bahasa dan linguistik.  Program tersebut bakal         melatih lebih ramai tenaga mahir dalam bidang bahasa bagi memenuhi keperluan industri.

Pusat ini juga akan dapat menjalin kerjasama dan menyelaras program sedia ada di kampus Pagoh di samping merancang program untuk masa hadapan. Pusat ini amat berpotensi tinggi memandangkan kedudukannya yang srategik untuk mendapat klien bagi program Pengajian Bahasa.

Objektif CLS adalah mempertingkatkan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Antarabangsa dalam kalangan pelajar UTHM dan staf untuk tujuan akademik, profesional dan sosial di samping menjalankan kerja penyelidikan dan penerbitan dalam bidang pembangunan, pengajaran dan pembelajaran pengajian bahasa dan komunikasi. CLS juga ditubuhkan untuk menyediakan khidmat kepakaran kepada golongan profesional dan bukan profesional di sektor awam dan swasta untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Dengan penubuhan dua entiti baharu tersebut, UTHM melangkah setapak lagi ke hadapan dalam mempertingkatkan lagi bidang pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta penerbitan.
Last Updated ( Isnin, 18 Januari 2016 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.