Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Kolej Kediaman Tun Syed Nasir sumbang bakti Program Masyarakat Kampung Peta
Kolej Kediaman Tun Syed Nasir sumbang bakti Program Masyarakat Kampung Peta Print E-mail
Hear this article
MERSING – Seramai 40 orang penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program “Khidmat Masyarakat Kampung Peta” anjuran Kolej Kediaman Tun Syed Nasir  (KKTSN) pada 3 hingga 5 Mac lalu.

Program ini merupakan inisiatif KKTSN yang bertujuan untuk mempamerkan salah satu daripada aktiviti kemasyarakatan yang menguji peserta dari segi mental dan fizikal. Aktiviti yang melibatkan penghuni Kolej Kediaman Tun Syed Nasir ini telah memilih Kampung Peta, Taman Negara Johor Endau Rompin, Johor sebagai lokasi sasaran.

Menurut Penasihat Program Encik Khairulakmal hj Kamaludin, program ini merupakan satu langkah awal bagi meneruskan usaha-usaha khidmat siswa pada masa akan datang. Tambah beliau, program ini dapat mendedahkan pelajar dengan asas kepimpinan, berdaya intelektual dan bekerja dalam satu pasukan terutamanya jika dilihat dari sudut kehidupan di institut pengajian tinggi serta dapat mengenali kehidupan luar di samping memupuk nilai-nilai murni seperti disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan.
 
Program seumpama ini juga dapat melahirkan penuntut yang prihatin dan cakna tentang isu sekeliling selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang inginkan universiti membentuk kerjasama program kemasyarakatan atau University Community Engagement (UCE) bagi melahirkan graduan holistik.

Program hasil gerak kerja oleh Majlis Kepimpinan Pelajar KKTSN yang dirancang hampir sebulan ini berjaya mendapat  penajaan dan sumbangan ikhlas daripada pelbagai pihak. Hasil sumbangan tersebut digunakan bagi meringankan kos perbelanjaan di Kampung Peta selain sumbangan makanan serta keperluan harian kepada masyarakat Asli Kampung Peta.

Sementara itu Penaung Program Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim berkata, aktiviti khidmat masyarakat ini dapat memberi pendedahan tentang kehidupan masyarakat Orang Asli sekali gus dapat melahirkan rasa syukur dalam kalangan mahasiswa.

“Program sebegini sebenarnya perlu dipergiatkan oleh mahasiswa kerana mereka merupakan pemimpin generasi masa hadapan.  Penganjuran program ini dapat menyediakan mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berjiwa murni dan prihatin dalam membangunkan negara,” tambah beliau yang juga merupakan Pengetua KKTSN.

UTHM berharap program sebegini dapat diteruskan lagi serta terus mendapat perhatian masyarakat agar nasib masyarakat Orang Asli dapat dibela dan dipelihara.
 
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.