Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Kolej Perwira UTHM Juara Malam Warisan Bangsa
Kolej Perwira UTHM Juara Malam Warisan Bangsa Print E-mail
Hear this article

Minggu Haluan Siswa (MHS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Semester I Sesi 2016/2017 yang melabuhkan tabir pada 3 September 2016 lalu mencatat sejarah tersendiri buat Kolej Perwira apabila pertama kali diangkat sebagai juara keseluruhan “Malam Warisan Bangsa” selepas lima tahun berturut-turut hanya sekadar berpuas hati sebagai Naib Juara.

Mengangkat tema persembahan “Rukun Negara...Sehati Sejiwa” dengan kekuatan jalan cerita digarap bersama elemen yang kreatif dan aspek teknikal serta kesepaduan penghuni yang membuat persembahan membuatkan seluruh warga Dewan Sultan Ibrahim (DSI), UTHM terdiam seketika apabila konflik antarabangsa yang berlaku di Syria diketengahkan sebagai pembuka persembahan. Konflik ini membuka jalan cerita dengan mencetuskan pelbagai soalan adakah benar kita di Malaysia ini sangat mensyukuri keadaan yang ada dan berusaha mengekal dan mengukuhkannya. Kandungan persembahan menjadi lebih bermakna apabila ditekankan prinsip Rukun Negara yang seringkali tidak diambil perhatian oleh sebilangan pihak untuk dinilai semula demi kemakmuran Malaysia.

Malam Warisan Bangsa ini menyaksikan semua kolej-kolej kediaman menampilkan pasukan pelajar baharu mereka untuk melakukan persembahan dengan tema “Sehati Sejiwa” serta bersama-sama kumpulan sorak kolej masing-masing. Menerusi seni persembahan, semangat kerja berpasukan dan kepimpinan dapat diasah selain usaha mengukuhkan nilai perpaduan dan semangat cintakan negara dalam kalangan mahasiswa.

Pertandingan pada malam itu menyaksikan Kolej Perwira menyapu bersih kedua-dua anugerah iaitu Johan Persembahan Warisan Bangsa dan Johan Kumpulan Sorak Terbaik. Ternyata walaupun hanya berpeluang berlatih dalam tempoh yang sangat singkat, kepimpinan dan kerja berpasukan yang baik segenap pihak di Kolej Perwira membuahkan hasil. Naib juara pula disandang oleh Kolej Kediaman Tun Syed Nasir, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing oleh Kolej Kediaman Tun Fatimah dan Kolej Kediaman Tun Dr Ismail. Hadiah pada malam tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Asri Selamat.

Dengan kejayaan ini, pastinya usaha memperkukuh kecemerlangan Kolej Perwira terus diperteguhkan dan matlamat menjadikan kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua seiring dengan misi dan visi UTHM terus cuba direalisasikan. Ini adalah sangat signifikan bertepatan dengan lonjakan pertama dalam PPPM-PT yang beriltizam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.