Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow "Seminar Pendidikan Johor 2016" kumpul pakar bidang pendidikan kongsi ilmu
"Seminar Pendidikan Johor 2016" kumpul pakar bidang pendidikan kongsi ilmu Print E-mail
Hear this article
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, melalui Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) telah menganjurkan Seminar Pendidikan Johor (SPJ) 2016 pada 19 hingga 20 September lalu bertempat di KSL Hotel and Resort, Johor Bahru.

Bertemakan “Pendidikan Berkualiti dan Pembangunan Swadaya Insan”, seminar dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) ini adalah selari dengan Teras Keenam dalam pembentangan Bajet 2016 Negeri Johor.

SPJ 2016 dilihat sebagai platform yang mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang pendidikan dan kemahiran merentas institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran, sekolah-sekolah dan industri terutamanya dari negeri Johor malah turut dihadiri oleh peserta dan pembentang kertas kerja selain dari negeri selatan tanah air.

Seminar ini telah disempurnakan oleh Datuk Hj. Md. Jais bin Hj. Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, merangkap ADUN Mahkota selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor.

Menerusi perlaksanaan SPJ 2016, kepakaran dan penjanaan idea baharu ke arah merealisasikan trend pendidikan masa depan negeri Johor dapat digarap. Selain itu, seminar ini berupaya mewujudkan jaringan kolaboratif bersama pemain-pemain utama dalam bidang pendidikan dan pendidikan guru di Johor khususnya, dan Malaysia secara amnya.

Selari dengan matlamat melahirkan pendidikan berkualiti dan pembangunan swadaya insan, seminar ini membuka ruang untuk mempertingkatkan daya kreativiti dan inovasi dalam kalangan pendidik  agar mampu melaksanakan perancangan dan pembangunan pendidikan Johor. Isu lokal dan global dalam pendidikan turut dibincangkan secara holistik, serta hasil-hasil penyelidikan dapat disebarkan serta maklumat saintifik dikongsi menerusi pembentangan hasil penyelidikan yang memberi impak kepada pembangunan negeri Johor.
 
Negeri Johor merupakan antara negeri yang menerima peruntukan pendidikan tertinggi dalam negara termasuk pelbagai kemudahan prasarana bagi memastikan kelangsungan pendidikan anak bangsa.
 
“Komitmen kita tidak pernah pudar. Segalanya dilakukan atas bulat tekad dan kepercayaan penuh bahawa hanya pendidikan yang mampu memastikan nusa pertiwi terus maju mengatur derapnya pada masa hadapan. Atas sebab itu jugalah, para pengamal bidang pendidikan tiada pilihan lain, melainkan terus memberikan fokus kepada mencipta pengalaman-pengalaman terbaik buat anak-anak Bangsa Johor”, kata Datuk Hj. Md. Jais dalam ucapan perasmiannya.
 
Tambahnya lagi, jumlah pendidik yang bermastautin di Johor adalah antara yang teramai di Malaysia.
 
Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM pula menyatakan kepentingan UTHM dan Institusi Pendidikan di Johor sebagai penggerak utama dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan di Johor adalah sangat perlu kerana merekalah pemimpin hadapan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan swadaya insan.
 
Beliau turut menekankan kesediaan UTHM dalam membantu program-program yang dirancang dalam Bajet 2016 negeri Johor iaitu melalui pembiayaan pendidikan, kepimpinan pelajar, perkembangan pendidikan belia, bakat muda dalam sukan dan pengekalan budaya warisan Johor.
 
SPJ 2016 yang berlangsung selama dua hari telah dihadiri lebih 400 peserta terdiri daripadatenaga akademik UTHM, IPG, warga pengetua dan guru sekolah-sekolah di beberapa daerah seperti Johor Baharu, Kota Tinggi, Kulai, Pontian dan Pasir Gudang.
 
Last Updated ( Isnin, 26 September 2016 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.