Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow UTHM bantu masyarakat Kemboja – laksana program khidmat masyarakat sempena Aidiladha
UTHM bantu masyarakat Kemboja – laksana program khidmat masyarakat sempena Aidiladha Print E-mail
Hear this article
Kg. Cham, Kemboja: Bagi membantu masyarakat yang kurang bernasib baik, sebanyak 20 ekor lembu telah dikorbankan semasa pelaksanaan program khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa bermula pada 12-16 September 2016 sempena Hari Raya Aidiladha 1437H bertempat di Kg. Cham, Kemboja.

Negara ini dipilih adalah kerana Melayu Champa hanya terdiri daripada 5% daripada penduduk Kemboja iaitu mereka ini merupakan golongan minoriti. Mereka menerima bantuan dari rakan-rakan muslim mereka di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kebanyakan mereka telah mengadaptasi budaya dan Bahasa Melayu dalam sebahagian besar kehidupan mereka dan juga kebanyakan mereka tinggal di Wilayah Kg Cham dan Phnom Penh.

Hasil korban ini telah diagihkan kepada semua penduduk dan komuniti kampung sekitar Madrasah Islamiah Chakiakon, Kg Cham, Kemboja. Melalui aktiviti Rewang Sekampung, masakan Malaysia telah diperkenalkan seperti masakan dendeng daging, daging goreng kunyit, dan juga tidak ketinggalan iaitu masakan ikan asam pedas.

Program anjuran Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat (PHUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang bertujuan mengeratkan kerjasama serantau dalam kalangan negara ASEAN ini mendapat kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, serta Pusat Kesihatan Universiti.

Program ini juga disambut baik oleh Dato’ Zakaria Adam, Menteri dibawah Pejabat Perdana Menteri Kemboja. Delegasi UTHM seramai sembilan orang yang terdiri daripada staf dan pelajar telah bersama-sama menjadikan program ini satu kenyataan dengan bersedia sebagai sukarelawan yang efektif tanpa mengira kaum, bangsa dan tempat supaya boleh berkongsi kemahiran dan memberi derma sumbangan.

Tempat yang dipilih untuk program khidmat masyarakat antarabangsa ini adalah Madrasah Islamiah Chakiakon yang telah dibangunkan sejak tahun 2006 dan kini mempunyai seramai 116 murid dan tujuh orang ustaz/ustazah yang diketuai oleh seorang Guru Besar. Madrasah ini yang berusia hampir 10 tahun merupakan satu-satunya sekolah sekitar Khum Seda Srok Dambia yang menggunakan kaedah Iqra’ dan menjalankan sistem pendidikan sekolah rendah yang ditetapkan oleh Minister Pendidikan Kemboja.

Selain daripada ibadah korban, program berkhatan juga telah dilaksanakan kepada 36 murid dan anak-anak Kemboja melalui bantuan komuniti oleh Pusat Kesihatan Universiti, UTHM. Program berkhatan ini adalah pertama sekali dilaksanakan di Madrasah ini dan akan diteruskan pada masa hadapan kerana ianya mendapat sambutan yang kuat dengan penyertaan seramai lebih 50 murid yang inginkan berkhatan.

Elemen pendidikan juga tidak ditinggalkan. Beberapa acara berlangsung di Madarasah tersebut dengan menekankan kepada dua subjek iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik. Acara-acara menarik dengan modul yang dibangunkan seperti teka silang kata, explorace math, yes boss!, ambition tree dan banyak lagi telah menarik minat murid-murid ini untuk mendekatkan diri dalam subjek tersebut.

Tambahan pula, program motivasi keusahawanan juga ditekankan kepada penduduk kampung yang menghadapi kesempitan hidup agar mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan khasnya dari segi pendidikan dan sosio ekonomi keluarga dan komuniti setempat.

Menurut Encik Abdul Hamid Yusof selaku Pengarah Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat, UTHM, projek korban dan khidmat masyarakat ini akan diteruskan dalam usaha Universiti membantu masyarakat antarabangsa membaiki taraf hidup khasnya mereka yang beragama Islam dan hidup dalam kedaifan.
 
 
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.