Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Kolej Perwira UTHM terajui kesedaran derma organ
Kolej Perwira UTHM terajui kesedaran derma organ Print E-mail
Hear this article
Memilih isu kesedaran derma organ sebagai subjek utama, Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tampil menunaikan peranannya sebagai agen pengubah masyarakat dengan penganjuran Larian Ikrar Derma Organ (LIDO) 2016 yang berlangsung pada 24 September lalu.

LIDO 2016 yang telah dilancarkan dan mendapat sokongan penuh oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin menyaksikan penglibatan hampir 454 peserta yang terdiri dalam kalangan warga UTHM serta masyarakat sekitar. Menerusi larian ini juga, setiap peserta menyumbang RM1 menjadikan RM500 berjaya dikumpul dan disumbangkan terus kepada Persatuan Kebajikan Pesakit-pesakit Hemodialisis Darul Takwa Batu Pahat. Jumlah sumbangan tersebut disampaikan oleh Naib Canselor kepada Pengerusinya, Encik Hasan Habidin Timin. Dalam ucapan pelancarannya, Naib Canselor menzahirkan sokongan penuh beliau terhadap aktiviti ini serta mengucapkan tahniah atas daya usaha mengangkat isu kesedaran derma organ, memandangkan Malaysia juga adalah antara negara terendah kadar pengikrar derma organ.

LIDO 2016 yang dijalankan bersempena Festival Kasih 2016 merupakan manifestasi warga Kolej Perwira terhadap isu-isu kesihatan, keselamatan, kebajikan dan kemasyarakatan yang juga bertujuan memperkukuh semarak kasih sayang antara masyarakat yang semakin terhakis kesan sikap mementingkan diri sendiri yang semakin menebal. Dengan tema “Kasih Itu Dari Hati”, ternyata Festival ini telah berjaya membawa impak terhadap aspek sosial warga universiti dan masyarakat.

Selain daripada LIDO 2016, pelbagai aktiviti lain juga berjaya dilaksanakan antaranya menyaksikan seramai 164 orang berikrar sebagai penderma organ menerusi Kempen Kesedaran Derma Organ dan 139 pain darah berjaya didermakan menerusi Jom Derma Darah dengan kedua-dua aktiviti ini adalah dengan kerjasama Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Selain daripada dua aktiviti ini, pelbagai aktiviti lain turut dijalankan dengan penuh meriah seperti Latihan Memberus Gigi, Gotong Royong “Katakan Tidak Kepada Denggi,” Ceramah Bahaya Seks Bebas, Slot Inspirasi Kasih bersama Penulis Buku Mat Cleaner UK dan Ikon Rowing Negara serta beberapa pertandingan melibatkan warga Perwira yang mewakili rumah sukan masing-masing, iaitu Scarlet, Azure, Harlequin dan Aureolin.   

Dengan kejayaan penganjuran LIDO 2016 dan Festival Kasih ini diharapkan tahap kesedaran siswa dan siswi terhadap isu berkaitan termasuklah kesedaran kepentingan menderma organ bukanlah lagi perkara yang menakutkan. Selain itu, falsafah bahawa erti hidup ini adalah dengan memberi diharapkan dapat meresap ke dalam jiwa semua yang terlibat serta benar-benar dapat difahami bahawa “kita diajar untuk terus memberi bukanlah kerana kita memiliki segala-galanya, tetapi agar kita tahu apa rasanya andai kita tidak punyai apa-apa”.
 
 
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.