Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Perarakan Town and Gown Kali Ke-8 meriahkan bandar Batu Pahat
Perarakan Town and Gown Kali Ke-8 meriahkan bandar Batu Pahat Print E-mail
Hear this article
Kira-kira 5000 penduduk membanjiri Bandar Batu Pahat pada 24 September lalu bagi menyaksikan perarakan unik Town and Gown.Perarakan kali kelapan ini adalah acara tahunan bagi menguar-uarkan seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokesyen ke-16 UTHM yang akan berlangsung pada 8,9,10 Oktober 2016 nanti.

Sebanyak 27 kontinjen yang melibatkan kira-kira 1500 orang peserta terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta beberapa agensi luar telah berarak kira-kira satu kilometer dari Jalan Rahmat ke Dataran Penggaram sambil disaksikan oleh orang ramai.

Uniknya perarakan kali ini menampilkan kontinjen berimejkan warna warni perpaduan masyarakat selain penyertaan daripada kontinjen luar yang melibatkan kumpulan pancaragam Batalion Ke-5 RAMD, Temenggong Ibrahim Girls School (TIGS) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Mengkibol, Kluang.

Perarakan konvokesyen yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institut pengajian tinggi pertama yang mengadakan perarakan seperti ini.

Sambutan diteruskan di Dataran Penggaram dengan menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM kali ke-16 oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Tuan Haji Ramli Abdul Rahman,  selaku wakil rasmi Pegawai Daerah sambil disaksikan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin. Majlis Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan,YB Datuk Ab. Aziz Kaprawi.

Sambutan dimeriahkan dengan kemunculan artis jemputan kumpulan Forteen yang terkenal dengan lagu “Dekat tapi Jauh” serta persembahan tarian dan nyanyian dari Kelab Warisan UTHM.

Perarakan Town and Gown ini merupakan kali kelapan dianjurkan oleh UTHM setelah berjaya menarik minat komuniti Batu Pahat untuk hadir memeriahkan acara yang diadakan. Memandangkan perarakan ini dijadikan produk pelancongan unik daerah Batu Pahat dan dimasukkan dalam aktiviti pelancongan bagi daerah ini, UTHM berhasrat akan terus komited menganjurkan lagi program seumpama ini pada tahun-tahun akan datang.

Sambutan majlis konvokesyen ke-16 UTHM akan diteruskan dengan Pesta Konvokesyen (FESKON) bermula 5 hingga 10 Oktober ini bertempat di Padang Kawad, UTHM. Pelbagai acara menarik akan diadakan termasuk gerai jualan dan konsert artis yang menampilkan penyanyi 80-an Indonesia, Emilia Contessa pada 7 Oktober nanti.
 
 

Last Updated ( Selasa, 27 September 2016 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.