Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Pelajar UTHM pelopori Aplikasi Internet of Things (IoT) untuk Fertigasi Cili
Pelajar UTHM pelopori Aplikasi Internet of Things (IoT) untuk Fertigasi Cili Print E-mail
Hear this article
Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE), sebuah persatuan pelajar di bawah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama-sama Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Perwira mencatat sejarah tersendiri apabila kerjasama pintar mereka menerusi insiatif Blue Ocean Strategy (BOS) membuahkan hasil dan kini aplikasi Internet of Things (IoT) yang dibangunkan sepenuhnya oleh KKE memberi manfaat kepada projek fertigasi cili di Kolej Perwira.
 
Kejayaan membangunkan aplikasi IoT ini adalah di bawah bimbingan Makmal Penyelidikan Embedded Electronics, di Microelectronics & Nanotechnology - Shamsuddin Research Centre (MiNT-SRC), UTHM yang diketuai oleh Dr. Afandi Ahmad, yang juga merupakan Dekan FKEE dan Pengetua Kolej Perwira UTHM. Projek ini juga adalah hasil bimbingan Dr. Mohd Noor Abdullah selain tulang belakang utamanya melibatkan Muhammad Faris  Roslan dan Muhammad Muzakkir Mohd Nadzri, yang kedua-duanya merupakan pelajar Sarjana Kejuruteraan Elektrik (Penyelidikan) di FKEE,
 
Projek fertigasi cili di Kolej Perwira ini merupakan yang pertama seumpamanya diusahakan oleh siswa dan siswi UTHM berjaya meraih keuntungan mingguan sekitar RM80 selain melatih budaya keusahawanan dalam kalangan kepimpinan pelajar dan penghuni Kolej Perwira. Kejayaan ini juga adalah hasil usahasama Kolej Perwira bersama SMK Seri Gading (SEGA) pada peringkat awalnya. Bagi menambah nilai projek fertigasi yang pada asalnya bermula dengan hanya 40 pokok, kini berjaya dikembangkan kepada 80 pokok dan lebih menarik semua parameternya boleh dipantau menerusi menerusi komputer dan telefon pintar.
           
Sistem pemantauan masa-nyata yang dibangunkan menerusi aplikasi IoT ini membolehkan beberapa parameter penting seperti suhu persekitaran, kelembapan udara dan tanah, kawalan injap paip dipantau dan dioperasikan secara atas talian dan semua data boleh disimpan dan disemak apabila diperlukan. Kejayaan pembangunan aplikasi IoT khusus untuk fertigasi cili ini juga adalah hasil inspirasi daripada siri-siri ceramah terdahulu yang disampaikan oleh Profesor Adjung FKEE yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di CitiAct dan REDtone IOT Sdn Bhd, Dr. Mazlan Abbas dan kini beliau juga merupakan salah seorang panel penasihat industri di FKEE. Mengulas kejayaan aplikasi IoT untuk fertigasi ini, beliau melahirkan rasa teruja dengan projek yang dijalankan dan berpandangan bahawa projek seperti ini wajar diberi publisiti meluas. Selain itu, beliau juga menzahirkan cadangan agar prototaip ini disambungkan kepada Redtone IOT Cloud untuk terus memberi lebih manfaat.
 
Kejayaan ini juga jelas membuktikan bahawa usaha melahirkan mahasiswa holistik di FKEE dan Kolej Perwira bukanlah hanya sekadar usaha kecil-kecilan tetapi diiktiraf oleh pihak industri dan masyarakat. Menerusi aktiviti seperti ini, pelajar yang terlibat telah dapat memanfaatkan pengetahuan yang ditimba menerusi sesi kuliah dan keberhasilan dalam aspek peningkatan penyelesaian masalah yang kompleks, ketajaman daya fikir dan kreativiti, ketelitian komunikasi serta keteguhan daya kepimpinan dan kerja berpasukan adalah suatu yang wajar diberikan pujian. 

 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.