Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Kolej Perwira UTHM terus suburkan Budaya Ilmu dan Elemen 4C
Kolej Perwira UTHM terus suburkan Budaya Ilmu dan Elemen 4C Print E-mail
Hear this article
Dunia hari ini semakin mencabar apabila kebergantungan masyarakat terhadap teknologi semakin mendadak. Ini diburukkan lagi apabila budaya berhibur tanpa batasan semakin menular dan hal ini perlu diperhalusi agar budaya ilmu yang menjadi teras ketamadunan bangsa tidak terhakis. 

Ke arah merealisasikan fungsinya bukan hanya sebagai sebuah kolej kediaman, tetapi sebagai pusat pembelajaran kedua, Kolej Perwira terus melangkah ke hadapan dengan agenda pembudayaan ilmu dalam aktivitinya. Buktinya, pada 10 hingga 12 November 2016 lalu berlangsungnya Festival Kreativiti dan Inovasi (FEKI 2016) dengan pelbagai aktiviti yang bertujuan menajamkan empat elemen penting seperti yang digariskan oleh World Economic Forum, iaitu Critical Thinking & Problem Solving, Communication, Collaboration dan Creativity.

Membuka tirai FEKI 2016 ialah Slot Inspirasi Kejayaan yang menampilkan mantan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin hadir berkongsi pengalaman dan ilmu bersama para penghuni. Menariknya, penyampaian beliau yang bersahaja dan penuh dengan interaksi dua hala ini berjaya menarik perhatian peserta. Selain daripada kisah pahit getir beliau dalam menuntut ilmu, turut diketengahkan ialah kepakaran beliau berkaitan bidang fizik bahan dan tenaga apabila beliau berbicara berkaitan Photovoltaic Solar. 

Menurut Profesor Datuk Dr Mohd Noh, aktiviti seperti ini adalah amat baik dan sangat diperlukan di Universiti. Jika Kolej Perwira mahu cemerlang seperti Oxford dan Cambridge, budaya ilmu hendaklah terus dikembangkan. Penghuni yang hadir dalam pengisian majlis ilmu seperti ini tidak tertekan seperti menghadiri kuliah yang mempunyai tugasan dan peperiksaan. Tetapi sesi seperti ini sangat bertepatan dalam menambahkan pengetahuan para pelajar dalam pelbagai isu walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza. 

Selain daripada slot Inspirasi Kejayaan yang disampaikan oleh Profesor Datuk Dr Mohd Noh, pelbagai aktiviti bermanfaat lain dilaksanakan seperti Debat Kelestarian, Pertandingan Inovasi Penyelesaian Masalah Kolej Kediaman, Pertandingan Akustika Alam, Pameran Kelestarian serta Bengkel Penyediaan Poster Teknikal. Semua aktiviti ini adalah selari dalam pembudayaan ilmu dan pengembangan elemen 4C dalam kalangan mahasiswa. 

Selain itu pertandingan Inovasi Penyelesaian Masalah Kolej Kediaman yang dilaksanakan berjaya mengerah idea penghuni mencipta produk bagi penyelesaian masalah harian mereka. Antara yang diketengahkan ialah rak kasut serba guna, bekas mandian mudah alih, ampaian, rak pinggan, rak baju, lampu belajar dan banyak lagi yang semuanya dibina dengan menggunakan barang terpakai. Selain menajamkan kemahiran penyelesaian masalah, kerja berpasukan, komunkasi, kepimpinan, berfikir secara kreatif dan inovatif, penggunaan barang terpakai juga mendidik penghuni lebih mencintai alam sekitar dan ini juga dapat merealisasikan Kolej Perwira sebagai Kolej Kediaman Karbon Rendah. 

Ringkasnya, usaha ini janganlah hanya berhenti di sini. Usaha pembudayaan ilmu mesti terus menjadi sinonim dengan Kolej Perwira UTHM sebagai sumbangan kepada negara dan bangsa tercinta!
 
 

Last Updated ( Khamis, 24 November 2016 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.