Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Projek #PisangFKEE - bukan sekadar sebiji pisang
Projek #PisangFKEE - bukan sekadar sebiji pisang Print E-mail
Hear this article
Peranan penasihat akademik (PA) dan hubungan positif Fakulti bersama pelajar amat penting dalam membentuk ekosistem fakulti dan universiti yang cemerlang. Menyedari akan kepentingannya, Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE), persatuan pelajar yang menaungi para pelajar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencetuskan fenomena menerusi Projek #PisangFKEE.
 
Projek #PisangFKEE yang telah dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Madya Dr Asri Selamat semasa berlangsungnya Hari Transformasi Minda (HTM) 2016 pada 4 Disember 2016 lalu adalah satu usaha yang signifikan. Beliau dalam ucapannya amat menghargai usaha proaktif KKE dan FKEE ini ke arah merapatkan hubungan antara Fakulti dan pelajar. Menerusi hubungan yang baik sahaja pelajar akan lebih bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek dan ini adalah selaras dengan hasrat dalam lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi).
 
Walaupun hanyalah pisang yang diagihkan kepada setiap pelajar menerusi PA masing-masing, Dekan FKEE, Profesor Madya Dr Afandi Ahmad dalam ucapannya turut menjelaskan bahawa Projek #PisangFKEE ini adalah inisiatif terkini FKEE dalam usaha mengukuhkan hubungan baik Fakulti bersama para pelajar. Pisang adalah snek yang baik sebagai penyemarak tenaga dan merupakan sumber terbaik membekalkan potassium. Potassium dalam tubuh akan hilang apabila kita berada dalam keadaan tertekan. Lebih-lebih lagi pada minggu padat menjelang peperiksaan. Selain itu, vitamin B yang dibekalkan juga baik untuk meredakan perasaan gementar. Atas rasional ini jugalah FKEE bersetuju untuk mengangkat buah pisang sebagai buah-buahan rasmi FKEE.
 
Selain daripada Projek #PisangFKEE, telah berlangsung pelbagai acara lain dalam HTM2016 seperti Cabaran Jurutera Elektrik dan Elektronik, Pidato Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (Bahasa Malaysia dan Inggeris), Bicara Alumni, Pertandingan Pameran Akademik dan Penyelidikan Jabatan dan banyak lagi. Ternyata, HTM2016 yang meneruskan kesinambungan kejayaan HTM2015 mempunyai mesej yang jelas dalam usaha melakukan perubahan pola berfikir warga FKEE. Kejayaan sesebuah Fakulti perlu digembleng bersama oleh segenap warganya dan kuasa perubahan minda besar ertinya.
 
Untuk memastikan FKEE berada pada landasan yang betul agar sentiasa relevan, dihormati dan dirujuk, usaha berterusan untuk membina minda positif tidak boleh dipandang ringan. Dengan Projek #PisangFKEE sebagai contoh, walaupun mungkin kelihatan hanya sebagai usaha kecil dengan memberikan sebiji pisang kepada para pelajar, tetapi diyakini bahawa dengan melakukan transformasi minda dalam melihat dan menghargai sesuatu perkara walau sekecil mana, kita akan berupaya membentuk komuniti dengan minda kelas pertama dan kelak akan bergelar JUARA!
 
 

Last Updated ( Selasa, 27 Disember 2016 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.