Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Kolej Perwira UTHM raih Tempat Ketiga Pertandingan Rekacipta Kreatif
Kolej Perwira UTHM raih Tempat Ketiga Pertandingan Rekacipta Kreatif Print E-mail
Hear this article
Dengan status sebagai Kolej Kediaman Cemerlang tiga tahun berturut-turut, Kolej Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengorak langkah dan mengukuhkan usaha mengembangkan bakat para penghuni bukan sahaja di peringkat UTHM malah lebih daripada itu.
 
Buktinya, Kolej Perwira UTHM telah berjaya membawa nama UTHM ke peringkat kebangsaan apabila berjaya meraih tempat ketiga daripada 40 buah pasukan Universiti Awam (UA), Politeknik dan Institut Latihan yang telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Rekacipta Kreatif menggunakan bahan kitar semula dengan tema “wastewater” yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2017 Peringkat Kebangsaan pada 25 Mac 2017 di Dataran Teluk Kemang, Port Dickson. Hadiah tempat Ketiga berupa wang tunai  bernilai RM300, piala dan sijil penyertaan telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Dalam pertandingan anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ini, Kolej Perwira UTHM menampilkan inovasi Wuduk Horizontal-Vertical Garden (WHOVER Garden) yang merupakan hasil inovasi kumpulan penghuni Kolej Perwira di bawah bimbingan Pengetua Kolej Perwira, Prof Madya Dr Afandi Ahmad. Kumpulan mahasiswa yang dianggotai oleh tujuh mahasiswa daripada pelbagai fakulti bersama-sama melakukan kajian dan inovasi bagi membolehkan air lebihan wuduk yang selama ini terbiar begitu sahaja diubah sebagai sumber pengairan untuk tanaman secara melintang dan menegak.
 
Inovasi yang dipertandingkan ini menarik minat pelbagai pihak yang berkunjung kerana mereka berpendapat bahawa selama ini ramai yang tidak memandang berat bagaimana untuk dimanfaatkan air lebihan ketika berwuduk. Selain daripada itu, inovasi ini juga bertepatan dengan syariat Islam yang melarang pembaziran selain daripada penekanan terhadap konsep keusahawanan iaitu hasil tanaman seperti yang sedang dijalankan iaitu salad dan sawi yang boleh dijual.
 
Menjelaskan lanjut perancangan masa hadapan inovasi ini, ketua pasukan iaitu Muhammad Shueib Shuhaimi, penuntut tahun dua Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS) menjelaskan bahawa kajian lanjut akan diteruskan dan skala taman melintang dan menegak juga akan dibesarkan. Selain itu, usaha untuk mengembangkan inovasi ini kepada lain-lain surau dan masjid juga sedang ditinjau.
 
Mengulas kejayaan ini, Pengetua Kolej Perwira menyatakan bahawa usaha pengembangan budaya ilmu merangkumi budaya inovasi dan keusahawanan di Kolej Perwira akan terus diperkasakan demi manfaat para penghuni. Dengan melibatkan lebih ramai penghuni, diharapkan usaha ini akan menajamkan daya fikir dan kemahiran penyelesaian masalah kompleks dalam kalangan penghuni dan membantu kelak meningkatkan nilai tambah dalam diri bagi menghadapi cabaran global.
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.