Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow Program Kembara Ilmu InapDesa dedah budaya masyarakat Johor
Program Kembara Ilmu InapDesa dedah budaya masyarakat Johor Print E-mail
Hear this article
Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjadi penganjur utama Program Kembara Ilmu Inapdesa yang merupakan sebuah program silang budaya antara tiga buah negara iaitu Malaysia, Jepun dan Indonesia yang telah dijalankan pada 26 hingga 28 April di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Johor.

Seramai 60 orang pelajar dari UTHM, 12 orang pelajar dari Tokyo University of Foreign Study (TUFS) dan 15 orang pelajar dari Universitas Riau Kepulauan (UNRIKA) telah bersama-sama menyertai program selama tiga hari anjuran Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat dan Pejabat Antarabangsa UTHM dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Setia Budi dan penduduk Kampung Parit Nipah.

Program ini diadakan bertujuan untuk memperkayakan dan memperkenalkan budaya masyarakat Johor kepada pelajar-pelajar TUFS dan UNRIKA menerusi pengenalan kepada adat resam, tatatertib dan kepercayaan serta amalan harian serta mewujudkan semangat berkerjasama perpaduan dalam kalangan pelajar tempatan dengan pelajar antarabangsa yang berbilang bangsa, agama dan negara.

Majlis Perasmian Penutup Malam Silang Budaya ini diadakan secara meriah dengan simulasi acara pengantin antara pelajar Indonesia dan Jepun berkonsepkan adat istiadat Melayu Jawa. Simulasi pengantin ini mengimbau sejarah perkahwinan antara Soekarno, mantan Presiden Pertama Indonesia dengan Naoko Nemoto, seorang gadis Jepun berumur 19 tahun yang kemudian diberikan nama Ratna Sari Dewi. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan seni silat pengantin, muzik gamelan yang dimainkan oleh pelajar Jepun dan Indonesia serta tarian barongan.

Timbalan Dekan (Kokurikulum), PPUK Dr. Mohd Khir yang mewakili Dekan dalam ucapannya berkata program melalui kursus Khidmat Masyarakat Kokurikulum ini diharapkan dapat mewujudkan hubungan erat antara pelajar-pelajar dan komuniti setempat di samping meningkatkan lagi kemahiran insaniah terutama dalam kerja berpasukan, kepimpinan, komunikasi dan pembelajaran sepanjang hayat.

Turut hadir Profesor Dr Yusri Yusof, Pengarah Pejabat Antarabangsa, Puan Anim Zalina Azizan, Ketua Jabatan Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat wakil rasmi Penolong Naib Canselor (Hubungan Industri dan Masyarakat) UTHM, Encik Mohd Salleh Pandak, Penghulu Mukim 8  Dun Semerah, dan Encik Miskon Karim, Ketua Kebudayaan dan Kesenian Setia Budi.

 “Pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program dan perjalanan majlis, memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar serta dapat menyumbang tentang pengalaman hidup dan kepercayaan penduduk tempatan untuk dikongsi kepada pelajar luar negara adalah merupakan hasil pembelajaran para pelajar Kokurikulum,” kata Pengarah Program, Encik Muhammad Suhaimi Sulong ketika bertemu di UTHM.

Difahamkan bahawa pelajar-pelajar ini diletakkan bersama keluarga angkat penduduk kampung tersebut bagi mendedahkan cara hidup orang Melayu Jawa dalam kehidupan seharian disamping mengikuti aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini. Antaranya adalah lawatan ilmu ladang kelapa sawit dan ladang nenas, mempelajari muzik gamelan, tarian barongan, dan kuda kepang, serta memperkenalkan masakan negara masing-masing.

Selain itu, agenda penting dalam program ini adalah memastikan mahasiswa mendapat kemahiran soft skill sebagai nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa di samping memberi pengalaman yang berbeza kerana wujudnya perbezaan latar belakang, sosial ekonomi, bahasa dan budaya antara Malaysia, Jepun dan Indonesia. Pastinya pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini dapat memberi impak yang besar kepada para pelajar.
Last Updated ( Ahad, 09 April 2017 )
 
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.