Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow Program Bina Insan Guru Vokasional bimbing bakal guru hadapi alam pekerjaan
Program Bina Insan Guru Vokasional bimbing bakal guru hadapi alam pekerjaan Print E-mail
Hear this article
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Bina Insan Guru Vokasional (BIGV) 2017 yang  dijalankan di setiap cuti hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu bermula pada 31 Mac 2017 hingga 15 April 2017.

Program yang dijalankan di fakulti dan sekitar kampus induk ini dilaksanakan bagi memenuhi Kandungan Memorandum antara UTHM dengan pihak Kementerian Pelajaran dalam meningkatkan taraf profesionalisma keguruan. FPTV telah diamanahkan oleh pihak Kementerian untuk melaksanakan program pendidikan sebegini sebagai pendedahan asas kepada bakal guru dan persediaan ke alam pekerjaan perguruan sebenar yang semakin mencabar.

Program BIGV 2017 dihadiri oleh seramai 466 orang mahasiswa yang sedang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional di FPTV dalam pelbagai bidang pengkhususan termasuklah bidang Binaan Bangunan, Katering, Penyejukan dan Penyaman Udara, Elektrik dan Elektronik, Multimedia Kreatif, Kimpalan dan Fabrikasi, serta Pemesinan Am. Penganjuran program BIGV pada tahun ini memfokuskan kepada dua pengisian utama iaitu sesi ceramah dan aktiviti fizikal.  Antara pengisian ceramah ialah untuk mengenali siapa guru, bagaimana mendalami etika keguruan, usaha meningkatkan kefasihan dengan adat resam dan budaya masyarakat serta pendedahan kepada perundangan yang berkaitan dengan profesion keguruan diikuti dengan aktiviti keagamaan.

Selain itu, menerusi program ini, FPTV mensasarkan bakal guru yang menyertai program ini dapat memupuk sikap toleransi, bertanggungjawab dan semangat kerja berpasukan. Ia turut memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tertentu termasuklah dalam mengelola, mentadbir dan mengendalikan sesebuah kursus mahupun program yang berskala besar.

Penganjuran program ini juga dilihat selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) PPPM PT 2015-2025 ke arah melahirkan graduan yang holistik dalam bidang teknikal dan vokasional yang semakin popular dikenali sebagai ‘Technical and Vocational Education and Training’(TVET).

Menurut pengarah program, Dr. Azita Binti Ali yang merupakan pensyarah di FPTV, program BIGV merupakan usaha Fakulti dan UTHM ke arah menjayakan matlamat utama kementerian dalam melahirkan graduan TVET yang berkualiti. Selain sesi ceramah, mahasiswa didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan mental dan fizikal mereka menerusi aktiviti yang dijalankan.
“Pelajar perlu mengaplikasikan kemahiran insaniah yang diterapkan dalam program BIGV ke dalam realiti semasa bekerja nanti. Antaranya ialah kemahiran penyelesaian masalah kompleks, kerja berpasukan dan kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai pihak. Kemahiran-kemahiran ini penting untuk menyediakan bakal guru TVET yang mampu menghadapi cabaran di masa hadapan,” kata Dr. Azita.
Sementara itu, Penasihat kepada jawatankuasa BIGV, Mejar Shafie Bin Idris, yang juga merupakan pensyarah di FPTV turut sama memberi komitmen memimpin aktiviti fizikal. Beliau menegaskan bahawa bakal guru TVET perlu memperkukuhkan diri dengan ilmu pengurusan dan bersikap tegas serta tepat dalam membuat tindakan.
“Pada masa akan datang, pelbagai aspek yang lebih mencabar perlu dihadapi. Dalam beberapa aktiviti fizikal, kemahiran asas mendirikan khemas, aktiviti air seperti berenang dan berkayak, orienteering serta kembara turut dipelajari.

“Aktiviti sebegini membuka ruang kepada peserta program untuk mempertingkatkan daya kreativiti dan inovasi agar mampu menggunakan pengalaman sedia ada selain membentuk sahsiah yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual, budaya dan sosial (JERICS),” katanya.

Selain Mejar Shafie, beliau turut dibantu oleh tujuh jurulatih dalam kalangan staf UTHM, dan mendapat kerjasama erat dari 35 orang penolong jurulatih yang terdiri daripada pelajar kanan di Fakulti tersebut.

Sehingga 2017, FPTV UTHM sangat komited sebagai penyedia pendidikan TVET negara dan akan sentiasa berusaha menjadi nadi penggerak utama dalam menjayakan aktiviti yang berupaya membantu meningkatkan sahsiah bakal guru TVET. Apa yang pasti, mahasiswa jugalah yang perlu berusaha bersungguh-sungguh menghadapi transformasi diri ke arah merealisasikan hasrat Kementerian dalam melahirkan graduan TVET negara yang berkualiti bagi memenuhi pasaran industri dan memacu inovasi dan ekonomi negara pada masa akan datang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat turut meluangkan masa  bersama-sama dan beramah mesra dengan peserta BIGV pada 15 April 2017 iaitu semasa hari terakhir program tersebut dijalankan. Beliau turut diiringi oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Dekan  Akademik dan Antarabangsa FPTV, Profesor Madya Dr. Rasid Abdul Razak dan beberapa orang pensyarah serta staf FPTV.
 

Last Updated ( Selasa, 18 April 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.