Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow Karnival Sukan Perdana (KASPER) – didik warga FPTP amal hidup sihat
Karnival Sukan Perdana (KASPER) – didik warga FPTP amal hidup sihat Print E-mail
Hear this article
Persatuan Pelajar Jabatan Pengurusan Teknologi (TEMAN) bersama dengan Kelab Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (TMB), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya menganjurkan Program “Karnival Sukan Perdana (KASPER) & Jom Sihat FPTP 2017 pada 17 dan 18 Mei baru-baru ini.

Penganjuran program ini bertujuan mendidik warga fakulti mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas di samping untuk mengeratkan lagi hubungan ukhwah antara staf dan para pelajar FPTP dengan mewujudkan semangat setiakawan dan muhibbah dalam kalangan warganya.

Karnival yang berlangsung selama dua hari ini diselitkan dengan aktiviti berjalan kaki iaitu 10 000 Steps yang melibatkan semua warga FPTP. Timbalan Dekan HEPA, Dr. Md Asrul Nasid Masrom melepaskan para peserta dengan membunyikan hon di garisan permulaan dan aktiviti tersebut ditamatkan selepas satu jam berlangsung.

Dr. Md Asrul Nasid juga turut menyempurnakan upacara perasmian yang turut dihadiri Dr. Shafie Mohamed Zabri, Profesor Madya Dr. Nor Hazana Abdullah, Fazian Hashim selaku penyelaras program KASPER, pensyarah-pensyarah serta staf-staf yang terlibat. Karnival juga diserikan dengan aktiviti zumba yang diketuai oleh Puan Anim Zalina Azizan.

Sementara itu, pelbagai acara-acara menarik telah dijalankan sepanjang karnival ini seperti “indoor game” yang melibatkan pertandingan carom, congkak dan batu Seremban. Permainan-permainan tersebut adalah permainan tradisional yang mana ia telah menarik minat para pelajar serta staf-staf FPTP untuk turut serta. Manakala “outdoor game” pula diselitkan dengan pertandingan  futsal dan bola jaring yang melibatkan hampir 340 peserta lelaki dan perempuan.

Karnival ini juga dimeriahkan dengan program Neon Run yang disertai kira-kira 500 peserta yang melibatkan warga UTHM. Acara larian ini dijalankan oleh kelab TMB dan telah dilepaskan oleh Dekan FPTP, Dr. Mohd Lizam Md Diah di hadapan bangunan FPTP dan berakhir di stadium UTHM. Majlis penyampaian hadiah dan penutup KASPER telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Asri Selamat di akhir karnival ini.

Program KASPER yang menerapkan elemen bersukan secara santai ini telah memupuk semangat kerjasama dalam kalangan warga FPTP. Pihak fakulti berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang kerana program ini dilihat dapat menjadi platform untuk membentuk nilai-nilai bersatu padu bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kelab-kelab pelajar di FPTP dan para peserta selain turut memberi impak terutama dalam memupuk semangat juang dalam kalangan peserta dan penyokong.

Secara tidak langsung penganjuran aktiviti sihat ini dapat mencungkil dan menggilap bakat-bakat baharu warga fakuli dalam mengendalikan majlis yang boleh dianggap berskala besar ini.
 
 
Last Updated ( Isnin, 08 Mei 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.