Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Perlandskapan Surau pamer kerjasama murni antara universiti dan masyarakat
Perlandskapan Surau pamer kerjasama murni antara universiti dan masyarakat Print E-mail
Hear this article
Universiti, masyarakat dan persekitaran memang tidak boleh dipisahkan malah saling bergantung dan berhubung antara satu sama lain. Hubungan ini telah direalisasikan menerusi penganjuran Program ‘Tranquil Garden Design’ yang telah diadakan di Surau Al-Ihkwan, Taman Pura Kencana, Batu Pahat, Johor pada 13 Mei lalu.

Program yang julung kali diadakan pada Sabtu lalu telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama dari pihak Jawatankuasa Surau dan penduduk Taman Pura Kencana, serta mendapat kerjasama kukuh dari pihak Jabatan Landskap Negeri Johor (JLNJ) yang telah memperuntukkan penajaan untuk pembelian pelbagai jenis pokok bagi tujuan menaik taraf landskap di kawasan surau tersebut.

Matlamat utama penganjuran program ‘Tranquil Garden Design’ ialah memberi pendedahan dan pengalaman sebenar kepada peserta program tentang kerja-kerja asas landskap bagi mewujudkan suasana menarik dan harmoni di kawasan surau dengan sentuhan segar kehijauan pokok. Selain itu, menerusi program ini, semangat kerjasama dapat dipupuk antara penuntut UTHM dengan komuniti Taman Pura Kencana. Pelbagai jenis pokok telah disumbangkan sepenuhnya oleh pihak JLNJ meliputi pokok teduhan, palma, renek dan penutup bumi. Pihak JLNJ telah menyumbang peruntukan berjumlah RM20 ribu, termasuk pembelian elemen landskap kejur seperti tempayan, set kerusi dan meja, batuan pemijak, batu sungai dan pasu bunga. Antara pokok teduhan yang disumbangkan ialah Tecoma atau turut dikenali sebagai pokok sakura Malaysia, Plumeria rubra, Bucida var., Tower tree, dan pokok buluh hiasan, manakala pokok palma seperti pinang merah, Licuala grandis dan Lady’s palm. Lebih dari sepuluh spesis pokok renek yang ditaja antaranya ialah spider lily, Canna indica, Heliconia, Alphinia purpurata, Agave spp., Yucca gloriosa dan pokok jenjuang.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi dimulakan dengan persiapan awal dari pihak JK Surau Al-Ikhwan dan penduduk taman tersebut. Dalam majlis perasmian program, Pengerusi Surau Al-Ikhwan, Ustaz Mohd Rahim Muntawil dalam ucapan penghargaannya sangat mengalu-alukan usaha pihak universiti dan JLNJ dalam mengindahkan kawasan surau.
“Usaha dan kerjasama sebegini merupakan amalan yang sangat mulia di sisi agama, apatah lagi di kawasan beribadat”, katanya.

Sementara itu, program telah disempurnakan oleh Arkitek Landskap, LAr. Zulkufli Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Landskap Negeri Johor (JLNJ), Bahagian Perancangan dan Pembangunan. Seramai lapan orang wakil termasuk LAr. Zulkufli dari JLNJ telah bersama-sama menjalankan sesi demonstrasi kerja-kerja asas landskap merangkumi penyediaan peralatan, langkah-langkah keselamatan, pemilihan pokok, kerja pengorekan tanah dan membuat lubang, penanaman, pemancangan, penyiraman serta pembajaan pokok. Sesi demonstrasi sebegini amat penting untuk memberi gambaran sebenar kepada peserta program, iaitu seramai 60 orang penuntut UTHM yang mengikuti kursus UQD 11301 Asas Landskap, dari Seksyen 1 dan Seksyen 2. Sesi demonstrasi turut disertai oleh komuniti taman tersebut.

Penyelaras program, Dr. Noor Dina Md Amin yang juga merupakan pensyarah dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), UTHM menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan penganjuran program tersebut.Beliau merangkap penyelaras kursus Asas Landskap mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak JLNJ di atas sumbangan peruntukan pembelian pokok-pokok yang sangat bernilai harganya.

“Kerjasama erat dari pihak JK Surau Al-Ikhwan dan penduduk Taman Pura Kencana juga amat dihargai serta jutaan terima kasih diucapkan kepada semua di atas semangat kebersamaan yang diberikan dalam menjayakan program tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada pihak FPTV yang turut serta memberikan sumbangan penajaan bagi memastikan kelancaran program, terutamanya program yang melibatkan pihak luar dan masyarakat.

Apa yang lebih menarik, program ini adalah gabungan dari dua kursus iaitu Asas Landskap dan Kerja Konkrit, malah ia turut disertai oleh beberapa orang penuntut yang bukan beragama Islam untuk bersama-sama menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran asas landskap mengikut konsep reka bentuk yang sesuai dan prosedur yang betul di tapak projek yang sebenar.

Sejurus sesi demonstrasi selesai, peserta program telah menjalankan kerja-kerja penanaman pokok di sekeliling kawasan tapak surau termasuklah juga kerja penanaman pokok di dalam pasu pelbagai saiz.Selain itu, kerja-kerja landskap kejur turut dijalankan seperti pembinaan kotak tanaman atau planter box yang diperbuat daripada batu bata dan ilham taman menerusi batuan pemijak yang menambah tekstur antara ruang dalam taman di kawasan surau.

Pembinaan landskap kejur memberi manfaat kepada sekumpulan peserta program ini iaitu seramai 20 penuntut dari kursus UQM11001 Kerja konkrit. Pensyarah kursus tersebut, Encik Rahmat Muslim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) berkata pendedahan kerja konkrit di tapak projek memberi peluang kepada penuntut untuk memperbaiki kemahiran sedia ada. Selain dapat mengaplikasikan ilmu di dalam kelas, program ini membantu mereka agar lebih berdikari dan meningkatkan daya berfikir serta membuat sesuatu keputusan bagi menyelesaikan masalah yang timbul ketika di tapak projek.

Berbeza dengan reka bentuk landskap kawasan rumah kediaman, konsep reka bentuk landskap dan susun atur pokok memainkan peranan yang amat penting agar kawasan surau diserikan dengan penataan taman yang sesuai bagi menerbitkan perasaan tenang dan tenteram serta membangkitkan sense of welcoming terutamanya kepada penduduk dan masyarakat dalam menunaikan ibadat solat di surau berkenaan.

Reka bentuk taman dengan kehadiran set kerusi dan meja serta pelbagai tekstur dan warna tumbuhan tropika mencipta genius loci atau spirit of place membenarkan penduduk di Taman Pura Kencana bukan sahaja untuk menunaikan solat, malah beriadah bersama keluarga dan jiran tetangga, bersantai dan memanfaatkan ruang di sekitar surau secara bersama-sama selain mengeratkan silaturrahim.

Program ini diakhiri dengan majlis penutup ringkas yang turut melibatkan 80 orang peserta sebagai simbolik penghargaan kepada mereka yang telah berpenat lelah dalam  menjayakan program sebegini.
 
 
 
Last Updated ( Ahad, 21 Mei 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.