Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow Pelan Pembangunan Profesionalisme Mahasiswa FKEE dilancar demi manfaat Mahasiswa
Pelan Pembangunan Profesionalisme Mahasiswa FKEE dilancar demi manfaat Mahasiswa Print E-mail
Hear this article
Menyedari cabaran pendidikan pengajian tinggi yang semakin mencabar khususnya pada abad ke 21, usaha berterusan ke arah menambah baik proses dan pengalaman pembelajaran pelajar mesti diberikan keutamaan. Selain itu, kepentingan memberikan input terbaik kepada mahasiswa bahawa masa depan yang bakal mereka depani bukan sahaja memerlukan ilmu yang tinggi menjulang malah pentingnya akhlak menjadi sauh dalam segenap tindakan mesti diperhebatkan.
 
Terus mengorak langkah demi manfaat mahasiswa, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 14 Mei 2017 lalu telah berjaya melancarkan Pelan Pembangunan Profesionalisme Mahasiswa (PPPM – FKEE) yang terkandung di dalamnya empat tema utama untuk tempoh empat tahun pengajian, iaitu Menilai Kekuatan & Kelemahan Diri (Tahun 1), Menghargai Peluang (Tahun 2), Memperkukuh Nilai Diri (Tahun 3) dan Melangkah Penuh Karisma & Profesional (Tahun 4). Semua tema ini adalah bagi mengukuhkan nilai dalam diri mahasiswa ini juga adalah selari dengan apa yang digagaskan oleh UTHM dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui lonjakan pertama berkaitan mahasiswa yang holistik. Menerusi PPPM FKEE juga, para pelajar akan menggunakan sistem kad pelaporan sebagai kaedah penjejakan dan pemantauan pencapaian prestasi mereka sepanjang empat (4) tahun berada di FKEE UTHM.
 
Majlis pelancaran ini menyaksikan Dekan FKEE, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad menyampaikan rumusan berkaitan Ujian Transformasi Minda Mahasiswa (UtMM) yang telah dijalankan pada 19 Februari 2017 lalu kepada semua pelajar yang mendudukinya dan menyampaikan nasihat berkaitan transformasi minda yang mesti dilakukan jika ingin lebih cemerlang. Selain itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada enam pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang. Turut diadakan, satu sesi penyampaian watikah lantikan kepada semua ketua pelajar penasihat akademik (PA) yang mana ianya  merupakan antara inisiatif baharu FKEE bagi menambah nilai sistem PA sedia ada. Turut disampaikan kepada semua PA ialah sesikat pisang yang sebelum ini telah diangkat sebagai buah-buahan rasmi FKEE untuk dinikmati bersama oleh PA dan para pelajar. Majlis turut diserikan dengan kejutan oleh Kelab Kejuruteraan Elektrik (KKE) yang menghadiahkan sepotong kek sempena Sambutan Hari Guru tanda penghargaan kepada warga pendidik di FKEE.
 
Menjadi harapan agar usaha membangunkan profesionalisme mahasiswa ini dapat dilaksanakan sebaiknya dan disambut baik oleh mahasiswa. Semua pelan hanya akan kelihatan cantik di atas kertas sahaja tetapi kurang membuahkan hasil seandainya pihak yang berkaitan hanya memandang sepi usaha yang dijalankan. Semoga usaha FKEE untuk meningkatkan profesionalisme mahasiswa yang bukan sahaja hebat pengetahuannya, malah santun akhlaknya menjadi realiti.
 
 
 
Last Updated ( Rabu, 24 Mei 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.