Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow FKEE UTHM terus raih kejayaan dalam Innovate Malaysia Design Competition
FKEE UTHM terus raih kejayaan dalam Innovate Malaysia Design Competition Print E-mail
Hear this article
Pusingan akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2017 yang berlangsung pada 17 Julai 2017 menyaksikan usaha bersepadu antara pelajar dan penyelia projek sarjana muda (PSM) Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus diiktiraf oleh pihak industri. Acara yang berlangsung di Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) Cyberjaya, enam (6) pasukan FKEE UTHM berentap bersama-sama dengan 45 pasukan lain dari pelbagai Universiti Awam (UA) dan Universiti Swasta (US) seluruh Malaysia. IMDC 2017 turut melakar sejarah baharu bagi FKEE UTHM apabila  berada bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), sebagai universiti dengan bilangan pasukan paling banyak yang mara ke pusingan akhir, iaitu masing-masing dengan enam pasukan.

Mengulas kejayaan ini Dekan FKEE, Profesor Madya Dr Afandi Ahmad menjelaskan bahawa agenda IMDC 2017 adalah antara usaha berterusan di FKEE ke arah memastikan tahap PSM di FKEE menepati kehendak industri. Penyelia-penyelia PSM sentiasa ditekankan untuk memberi galakan kepada para pelajar bagi menyertai IMDC. Menerusi IMDC, pelajar bukan sahaja diasah kemahiran penyelesaian masalah malah perkakasan dan perisian yang digunakan juga adalah selari dengan apa yang digunakan di industri. Selain itu, tema dan skop IMDC yang menjurus kepada kepesatan Industri 4.0 (IR4.0) juga menjadi aspek penting dalam menyediakan pelajar dengan cabaran IR4.0 yang kompleks.
 
 Beliau yang juga bersama pelajarnya Muhammad Shafiq Nizar menerusi projek bertajuk Computing-based Air Conditioner (AC) Towards Sustainable AC System yang berjaya meraih naib juara bagi trek National Instruments (NI) dan juga menyelesaikan cabaran reka bentuk oleh Daikin, membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama perisian edisi pelajar LabVIEW dan papan perkakasan NI myDAQ. Dalam pada itu, dua lagi projek di bawah seliaan Dr Lukman Hanif Muhammad Audah dan Dr. Mohd Razali Md Tomari juga berjaya meraih gelaran naib johan, masing-masing melalui trek Motorola Solutions dan Microsoft bersama pelajar seliaan mereka iaitu Yap Shien Chin dan Izzat Aqmar Ihsan serta Jeffrey Mark Law Tze Ping menerusi Vertical Farming Monitoring System using the Internet of Things (IoT) dan Alternative Input Medium Development for Wheelchair User with Severe Spinal Cord Injury.

Selain daripada itu, dua lagi projek oleh Cham Ying Kit, Jacqueline Ang Jie Yi dan Nicholas Tan Chun Sheng (trek ViTrox) dan juga oleh Chittiralega A/P Manoharen (trek Keysight) di bawah seliaan Dr. Mohd Razali Md Tomari dan Profesor Madya Dr Fauziahanim Che Seman berjaya mendapat tempat ketiga, manakala projek oleh Rajaswaran A/L Muniandy dan Shalini A/P Ganasamoorthi (trek ViTrox)  di bawah seliaan Encik Reza Ezuan Samin pula meraih hadiah saguhati. Pencapaian ini turut diserlahkan lagi dengan kejayaan menerusi seliaan projek oleh Dr Chia Kim Seng bersama pelajar-pelajar Nur Aisyah Syafinaz Suarin, Tan Yit Peng dan Tan Siew Chin yang dipilih sebagai pemenang bagi cabaran reka bentuk oleh SimeDarby Plantation.

 Untuk rekod, IMDC merupakan pertandingan reka bentuk kejuruteraan merentasi pelbagai disiplin untuk para pelajar prasiswazah kejuruteraan, sains komputer, sains dan matematik di Malaysia. Matlamat pertandingan ini adalah untuk mempromosikan budaya inovasi melibatkan reka bentuk kejuruteraan, penyelesaian masalah sebenar dengan penyelesaian praktikal menggunakan produk oleh pelbagai syarikat multinasional yang menjadi penganjur bersama pertandingan seperti Intel, Keysight, MathWorks, Microsoft, Motorola Solutions, National Instruments, SilTerra/Cedec, Fusionex dan ViTrox bersama-sama dengan pendokong utamanya iaitu DreamCatcher, Institute of Engineer Malaysia (IEM), Techsource, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Malaysia dan Malaysia Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).

Rumusannya, usaha berterusan bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di FKEE akan sentiasa diteruskan. Kejayaan yang dikecapi hari ini adalah usaha bersama semua pihak selain turut membuktikan bahawa bahawa kualiti PSM pelajar FKEE UTHM adalah cemerlang dan diiktiraf oleh pihak industri.
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.