Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow 71 bakal guru dan jurutera sertai ASEAN Vocational Engineering Camp (AVEC) 2017 di UTHM
71 bakal guru dan jurutera sertai ASEAN Vocational Engineering Camp (AVEC) 2017 di UTHM Print E-mail
Hear this article
Batu Pahat - Pada 16hb hingga 23hb Julai 2017 telah berlangsung ASEAN Vocational Engineering Camp (AVEC) 2017 di Dewan Tengku Mahkota Ismail (DTMI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). UTHM telah diberi kepercayaan sebagai tuan rumah untuk mengendalikan program anjuran Regional Association for Vocational Teacher Education in East and Southeast Asia (RAVTE) dan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) ini.
 
Kem ini merupakan siri kedua setelah kejayaan siri pertama AVEC 2016 dilaksanakan di Rajamangala University of Technology Lana (RMUTL), Chiang Mai, Thailand pada tahun lalu. Keseluruhan terdapat 27 buah institusi pendidikan dari tujuh buah negara di rantau Asia termasuklah Malaysia, China, Cambodia, Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam dan melibatkan peserta seramai 71 orang yang merupakan bakal guru TVET dan bakal jurutera dari insititusi-institusi dalam dan luar negara telah terlibat secara langsung dalam menjayakan kem ini.
 
Penganjuran AVEC 2017 kali ini bertemakan “Towards School 4.0”dengan memfokuskan pengaplikasian Internet of Thing (IoT). Program ini juga adalah selaras dengan hasrat UTHM untuk memperkasakan program-program pengantarabangsaan menerusi hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan negara luar. Objektif utama AVEC 2017 adalah untuk menekankan elemen kreativiti dalam kejuruteraan menerusi pembangunan projek-projek reka bentuk teknologi berkonsepkan aplikasi IoT. Selain untuk memberi inspirasi dan memotivasikan peserta menerusi pekongsian maklumat, idea dan pemikiran tentang reka bentuk serta mengekalkan hubungan yang kuat, program ini juga berhasrat untuk mewujudkan perpaduan dan pembangunan seluruh komuniti di rantau ASEAN.

Dalam ucapan alu-aluan AVEC 2017 Dekan FPTV, Profesor Dr. Hj. Ahmad Esa menyatakan bahawa AVEC 2017 adalah program yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami dan mengaplikasikan IoT dalam pelbagai konteks.
“Menerusi kem sebegini, peserta juga berpeluang menjayakan projek rekabentuk inovasi, bersaing secara sihat dalam pertandingan rekabentuk dan membolehkan mereka menjalin kerjasama dengan peserta dari luar negara yang mempunyai latarbelakang dalam bidang yang sama,” katanya.
 
Antara pengisisian program AVEC 2017 ialah latihan daya kreativiti menerusi projek reka bentuk teknologi dan aktiviti reka bentuk pemikiran (Thinking Design).  Kem telah dijayakan oleh ketua fasilitator AVEC 2017, iaitu Dr. Nopadon Maneeteien yang juga merupakan CDIO-Master Trainer, dari RMTUL, Thailand, dibantu oleh lima orang fasilitator dari luar negara, dan seramai lapan orang ahli jawatankuasa dalam kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Elektrik dan Elektronik) yang terlibat secara langsung dalam  mengendalikan program ini.  Selain itu, set kelengkapan IoT bagi tujuan pembelajaran kepada peserta telah ditaja oleh pihak Syarikat Espert, Thailand, RAVTE dan Koperasi UTHM.
 
Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Wahid Razzaly dalam ucapannya di dalam majlis  berasingan semasa penutupan ASEAN TVET Experts Forum (ATEF) di Dewan Sultan Ibrahim (DSI) pada 18hb Julai 2017 turut berharap AVEC 2017 dapat memberi pengalaman pembelajaran yang unik, memberi inspirasi dan menjana minda kreatif dan inovatif yang akan menyumbang secara positif untuk masa depan peserta.
 
Dalam projek rekabentuk, peserta dikehendaki menjana idea dan membangunkan produk inovatif berasaskan bahan kitar semula dan aplikasi IoT serta melibatkan permasalah sebenar di 10 buah sekolah sekitar Parit Raja, Batu Pahat dan Air Hitam. Hasilnya, terdapat 10 prototaip berkonsepkan IoT telah dibangunkan. Tiga daripada 10 prototaip telah memenangi anugerah bagi kategori Best Idea, Best Solution dan Best Presentation.
 
Menurut Profesor Emeritus Dr. Jailani Md Yunos, Timbalan Presiden RAVTE, merangkap penasihat kedua AVEC 2017, UTHM, “perlaksanaan kem amat cemerlang dan semestinya memerlukan komitmen yang tinggi dari semua pihak yang terlibat termasuk pihak penganjur dan peserta. Apa yang pasti, penglibatan semua peserta amat memberansangkan dan program ini berjaya mencungkil bakat kreativiti, kepimpinan dan memperbaiki kemahiran generik seperti kemahiran berkomunikasi interpersonal dan intrapersonal. Selain itu, program ini dapat memupuk kerja berpasukan antara peserta yang berbilang kaum, agama dan latar belakang budaya dari pelbagai negara”. Beliau turut menekankan bahawa program sebegini wajar dilaksanakan dan diteruskan pada masa hadapan bagi memberi pendedahan masalah sebenar di alam pekerjaan yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu dengan mengintegrasikan aplikasi IoT, dan melibatkan kerjasama antara insititusi serantau khususnya demi memperkasakan bidang teknikal dan vokasional negara”.
 
 
Last Updated ( Selasa, 25 Julai 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.