Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow Pelajar FSTPi juarai Pertandingan 3-Minute Oratory di International Food Research Conference 2017
Pelajar FSTPi juarai Pertandingan 3-Minute Oratory di International Food Research Conference 2017 Print E-mail
Hear this article
Pelajar Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan (FSTPi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Saudara Navis Ryan berjaya menjuarai Pertandingan 3-Minute Oratory bersempena penganjuran International Food Research Conference (IFRC) 2017 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 beserta sijil penyertaan dan sijil kemenangan.
 
Manakala saudari Siti Nabilah pula telah berjaya memenangi tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100 beserta sijil penyertaan dan sijil kemenangan. Kejayaan kedua-dua pelajar yang sedang mengikuti program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) Dengan Kepujian ini adalah hasil daripada semangat dan usaha masing-masing walaupun sedang bercuti semester di kampung halaman masing-masing tetapi tidak menghalang sesi latihan bersama Ketua Panel Teknologi Makanan, Dr. Norazlin Abdullah.
 
Pertandingan 3-Minute Oratory yang telah diadakan semasa berlangsungnya IFRC 2017 anjuran Universiti Putra Malaysia pada 27 Julai 2017 ini merupakan pertandingan yang menguji kepetahan, kemahiran dan keberanian pelajar untuk berucap di khalayak ramai. Peserta yang terlibat adalah pelajar-pelajar sarjana muda dalam bidang Sains Makanan serta bidang yang berkaitan dari universiti di negara-negara ASEAN.
 
Dengan berlatih dan berinteraksi menerusi aplikasi Skype, kelemahan pelajar dalam penyampaian dapat dikenal pasti dan ditambah baik. Pelajar juga mengulangkaji kursus-kursus yang telah dipelajari di UTHM, memperbanyakkan bacaan berkaitan isu-isu semasa, dan menonton video  penyampaian oleh pemenang pertandingan pengucapan awam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang boleh didapati di laman web YouTube. Dr. Norazlin turut mengiringi pelajar terbabit ke pertandingan tersebut bagi memberikan sokongan moral.

Setengah jam sebelum pertandingan bermula, peserta diberikan salah satu tajuk daripada enam tema, iaitu kualiti dan keselamatan makanan, lepas tuai dan pemprosesan makanan, makanan berfungsi, makanan halal, perkhidmatan makanan, pengurusan dan warisan, serta bio pemprosesan makanan. Peserta kemudian diberikan masa selama tiga minit untuk sesi penyampaian. Lima peserta yang berjaya ke peringkat separuh akhir diberikan tajuk 10 minit sebelum sesi penyampaian seterusnya bermula. Di peringkat akhir, tiga orang peserta telah bertanding bagi menentukan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga. Penyampaian oleh semua peserta dinilai berdasarkan gaya berkomunikasi, kefahaman terhadap topik yang diberi, dan juga penglibatan peserta dengan penonton.
 
Penyertaan pelajar UTHM di dalam pertandingan seperti ini merupakan langkah terbaik bagi melatih dan menerapkan kemahiran insaniah ke dalam diri pelajar sekaligus akan dapat melahirkan graduan yang berketrampilan dan berkeyakinan. Semoga kemenangan ini menjadi perangsang kepada pelajar-pelajar UTHM untuk terus memajukan diri ke peringkat yang lebih tinggi.
 
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.