Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow UTHM lantik dua Penolong Naib Canselor untuk tingkatkan daya saing
UTHM lantik dua Penolong Naib Canselor untuk tingkatkan daya saing Print E-mail
Hear this article
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melantik dua Penolong Naib Canselor yang baharu bagi meningkatkan lagi daya saing dalam menerajui universiti. Lantikan yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2017 ini melibatkan jawatan Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) yang disandang oleh Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Penolong Naib Canselor (Kelestarian Kewangan), Profesor Madya Dr. Wan Fauziah Wan Yussof.
 
Profesor Madya Dr. Afandi menjadi alumni UTHM pertama yang dilantik jawatan Penolong Naib Canselor di Universiti ini. Beliau sebelum ini melakar sejarah baharu dalam lanskap kepimpinan UTHM sebagai individu pertama dan termuda menggalas amanah sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan juga sebagai Pengetua bagi Kolej Kediaman Perwira (KKP) serentak. Terdahulu, beliau juga pernah bertugas sebagai Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKEE serta Ketua Jabatan Kejuruteraan Komputer seawal pada usia 26 tahun.
 
Beliau yang berjaya menyelesaikan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam tempoh yang ditetapkan (Graduate on Time – GoT) dengan pelbagai anugerah merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Elektronik dan Komputer dengan pengkhususan dalam bidang rekabentuk sistem terbenam untuk diagnosis pengimejan perubatan dari Brunel University, London. Terdahulu beliau memperolehi Ijazah Sarjana dalam bidang mikroelektronik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga merupakan pelajar ambilan pertama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pengajian terus bagi program Sarjana Muda di Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada masa itu (kini UTHM).
 
Menyingkap kepimpinannya di KKP dan FKEE, pelbagai usaha transformasi telah berjaya dilakukan dan membuahkan kejayaan. Buktinya apabila KKP berjaya dianugerahkan status Kolej Kediaman Cemerlang selama tiga (3) tahun berturut-turut iaitu 2014, 2015 dan 2016 dan ini merupakan catatan sejarah dalam kalangan kolej kediaman di UTHM. Selain itu, aktiviti pelajar di KKP juga diiktiraf di peringkat kebangsaan dan menjadikan KKP pelopor sebagai Kolej Kediaman Karbon Rendah selain dalam aspek inovasi dan keusahawanan pelajar.
 
Walaupun bertugas dengan dua jawatan serentak, kepimpinan beliau terus menyerlah apabila apabila FKEE berjaya disenaraikan dalam Top 400 QS World University Ranking by Subject bagi tahun 2016 serta pengiktirafan cemerlang bagi program akademik sarjana mudanya. Dengan slogan “Transformasi Minda” pelbagai usaha positif dilaksanakan di FKEE misalnya dengan mewujudkan sistem sokongan pelajar menerusi Transformasi Minda Mahasiswa (TMM) selain tindakan proaktif mengadakan Perhimpunan Bulanan Fakulti sebagai usaha memperkukuh muafakat dalam kalangan staf. Walaupun sibuk, tugas sebagai penyelia dilakukan dengan cemerlang apabila para pelajar seliannya meraih pelbagai kejayaan dan beliau sangat sinonim dengan Innovate Malaysia Design Competition (IMDC), pertandingan inovasi di peringkat nasional bersama pelbagai industri multinasional. Pelajar-pelajar seliaannya mara ke pusingan akhir tiga (3) kali dan meraih kemenangan. Terkini, FKEE juga berjaya meletakkan diri sebagai anntara Universiti paling ramai pasukan di pusingan akhir IMDC 2017.  
 
Memimpin dua organisasi serentak bukanlah mudah, namun beliau komited dalam aspek akademik, antara perintis awal di UTHM berkaitan Project Oriented Problem Based Learning (PoPBL) dan juga terus aktif dalam aspek penyelidikan dan inovasi, menerusi pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan berjaya meraih pingat. Beliau yang juga merupakan penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Shamsuddin Mikroelektronik dan Nanoteknologi (MiNT-SRC) turut aktif menjalin hubungan dengan pihak industri dan juga penerbitan menerusi kumpulan fokus yang diketuainya. Istimewanya juga, di peringkat media nasional, beliau sangat aktif menulis artikel ilmiah dan isu-isu semasa. Buktinya beliau juga antara kolumnis untuk ruangan Muka Sepuluh di Berita Harian yang lazimnya ditulis oleh tokoh-tokoh besar dan berpengaruh.  
 
Manakala Profesor Madya Dr. Wan Fauziah pula sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Pusat Perniagaan dan Keusahawanan sebelum dilantik ke Jawatan PNC ini. Mengimbau perjalanan kerjayanya, Wan Fauziah banyak memberi sumbangan kepada universiti melalui bidang keusahawanan sehingga beliau berjaya mendapat pengiktirafan  “Best Mentor Award” pada tahun 2016 lalu. Graduan PhD dari Victoria University, Melbourne ini mula bergiat aktif dalam aktiviti keusahawanan di UTHM sejak tahun 2004 setelah 12 tahun berkecimpung dalam bidang pembangunan perniagaan. Sepanjang tempoh berkhidmat di UTHM, beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Pengarah Urusan UTHM Holding (syarikat milik penuh UTHM) yang pertama dan telah mengetuai the Entrepreneurship Cap (IPMO) of UTHM sejak 2002 sehingga kini.
 
Selain membangunkan Pusat Perniagaan dan Keusahawanan di universiti, usahanya dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan perniagaan telah menampakkan hasil apabila beliau berjaya meletakkan nama UTHM di empat universiti terbaik semasa berlangsungnya Majlis Anugerah Keusahawanan pada tahun 2015. Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi pula, Wan Fauziah merupakan Ahli Sekretariat Pengarah Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) manakala di peringkat negeri beliau merupakan Ahli Majlis Keusahawanan Negeri Johor dan daerah Batu Pahat. Beliau turut dilantik sebagai penasihat perniagaan bagi empat syarikat dan tiga koperasi di Johor.
 
Sementara itu, Wan Fauziah turut menzahirkan kecenderungannya dalam bidang keusahawanan dengan bertindak sebagai ketua dan penasihat bagi puluhan projek pelajar. Antara projek yang berjaya dibangunkan ialah “Entrepreneural Apprenticeship” yang dijalankan sejak tahun 2013 dan telah  melahirkan lebih 100 pelajar yang menceburi bidang keusahawanan. Manakala dalam bidang akademik pula, Wan Fauziah turut membangun dan menyelaras beberapa subjek keusahawanan di fakulti, aktif dalam aktiviti penyelidikan di samping turut menyelia puluhan pelajar pasca siswazah. Wan Fauziah juga aktif menyertai persidangan akademik di dalam mahupun luar negara dan turut menerbitkan sejumlah jurnal selain dipertanggungjawabkan sebagai editorial bagi penulisan jurnal peringkat antarabangsa.
 
Seluruh warga universiti mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan diharap lantikan ini mampu menyumbang dan membawa UTHM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.
 
 
 
 
Last Updated ( Khamis, 03 Ogos 2017 )
 
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.