Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow Perarakan Town & Gown UTHM meriah
Perarakan Town & Gown UTHM meriah Print E-mail
Hear this article
BATU PAHAT: Kira-kira 5,000 penduduk hadir di pusat bandar daerah ini bagi menyaksikan perarakan unik 'Town and Gown' yang berlangsung penuh meriah pada 7 Oktober baru-baru ini.

Perarakan kali kesembilan itu adalah acara tahunan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi menguar-uarkan majlis Konvokesyen Ke-17 UTHM pada 14 sehingga 16 Oktober ini.

Sebanyak 26 kontinjen membabitkan 1,000 peserta termasuk mahasiswa, kakitangan UTHM serta kumpulan pancaragam Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim (TIGS) yang berarak sejauh satu kilometer dari Jalan Rahmat ke Dataran Penggaram mendapat tepukan dan sorakan orang ramai.

Perarakan bermula jam 8.30 malam itu yang dijadikan produk pelancongan unik dan turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan daerah ini juga bertujuan mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat.

Perarakan konvokesyen bertema 'Communiversity Celebration' itu adalah amalan turun temurun universiti ternama luar negara termasuk di Amerika Syarikat seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti Michigan Ann Arbor serta Universti St Andrews (Scotland) dan UTHM adalah antara universiti pertama negara yang menganjurkannya.

Sambutan diteruskan di Dataran Penggaram dengan acara kemuncak perarakan iaitu upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen ke-17 UTHM oleh Pendaftar UTHM, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Pegawai Daerah Batu Bahat, Tuan Haji Ab. Han Ramin disaksikan Naib Canselor, Profesor Dr. Wahid Razzaly. Turut diadakan upacara pelancaran Logo 25 Tahun UTHM oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Haji Ayub Rahmat.

Manakala Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Dato’ Dr Mohd Khairi Yakub pula hadir bagi merasmikan program perarakan tersebut. Sambutan turut diteruskan dengan konsert khas menampilkan artis baharu, Fara Hezel yang popular dengan lagu 'Setiaku Pasti' selain persembahan kebudayaan.

Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan perarakan konvokesyen berkenaan yang sudah bermula sejak semalam termasuk larian amal 'Charity Fun Run' dengan kerjasama Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor yang berjaya mengutip sumbangan derma sebanyak RM14,500 bagi mengisi tabung yayasan berkenaan yang disumbangkan oleh warga universiti, agensi dan orang ramai.
 
 
 
Last Updated ( Ahad, 08 Oktober 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.