Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow TRANSFORM UTHM-UNHAS anjur Seminar Antarabangsa Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah 2017
TRANSFORM UTHM-UNHAS anjur Seminar Antarabangsa Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah 2017 Print E-mail
Hear this article
BATU PAHAT: Institut Transformasi Sosial dan Pembangunan Wilayah (TRANSFORM) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Kantor Gubernur Sulawesi Selatan (SULSEL) dan Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar menganjurkan International Conference on Social Transformation and Regional Development (ICoSTRD 2017) pada 18 dan 19 Oktober 2017 bertempat di Bangunan Rektorat UNHAS, Makassar Indoensia.

Dengan tema Transforming Social and Regional Development, ICoSTRD 2017 berjaya menjadi platform kepada kira-kira 40 orang pembentang kertas kerja dan lebih 50 orang ahli akademik lain khususnya di seluruh Indonesia dan Malaysia berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam membincangkan isu-isu yang timbul kesan daripada perubahan sosial. Menurut pengerusi ICoSTRD 2017, Profesor Madya Dr. Abd Rahman Ahmad objektif ICoSTRD 2017 adalah untuk menggalakkan pertukaran idea dalam kalangan ahli akademik dan pemegang taruh di peringkat antarabangsa berhubung kesediaan masyarakat asia mendepani perubahan sosial yang dilihat mampu memberi impak besar dalam konteks sosio ekonomi masyarakat Asia.

Seminar ini mempunyai 12 sub tema yang saling mendokong dan berkait rapat dengan perubahan sosial dan pembangunan wilayah seperti Pembangunan Komuniti, Integriti, Pembangunan Sumber Manusia, Pendidikan Islam, Perubahan Sosial, Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta Tadbir Urus. ICoSTRD 2017 turut diisi dengan sesi ucaptama yang disampaikan oleh CEO Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Menurut Datuk Dr Anis Yusal, perubahan sosial yang berlaku mestilah berasaskan penyelidikan agar kesannya lebih signifikan dalam kehidupan harian dan perubahan yang berlaku.
 
ICoSTRD 2017 telah disempurnakan oleh Gubernur Sulawesi Selatan (SULSEL), Dr. H. Syahrul Yasin Limpo, S.H, M.H,. Dr. H. Syahrul Yasin Limpo dalam ucapannya sangat menyokong penuh penganjuran seminar ICoSTRD 2017 kerana kerjasama antara dua negara dilihat mampu menemukan formula baharu untuk masyarakat yang lebih maju. Selain itu, Rektor UNHAS, Profesor Dr. Dwia Aries Tina Pulubuhu MA turut melihat penganjuran seminar secara kerjasama tiga pihak ini dapat menghasilkan dampak yang lebih besar dalam bidang akademik dan pembangunan negara.   

Hadir sama menyertai seminar ICoSTRD 2017 adalah 15 orang pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) yang diketuai oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ), Tuan Haji Ismail Abu. Menurut Tuan Haji Ismail Abu, penyertaan pegawai Tadbir Negeri Johor dalam seminar ini merupakan  insentif kepada pegawai tadbir yang terlibat dalam penulisan Buku Pena Jauhar selain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mereka agar relevan dengan keperluan semasa.

Manakala menurut Pengarah TRANSFORM, Profesor Dr. Rosman Md Yusoff penyertaan JCS dalam ICoSTRD 2017 ini merupakan satu sumbangan TRANSFORM ke arah visi Johor Berkemajuan.
 
 
Last Updated ( Isnin, 30 Oktober 2017 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.