Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow Seminar, Courses and Conferences arrow Sambutan Mesra di Salarom Taka
Sambutan Mesra di Salarom Taka Print E-mail
Hear this article

14 Dis: Setelah kira-kira sejam beramah mesra di pekan Nabawan, perjalanan diteruskan lagi. Sebaik tiba di satu tempat bernama Semulut, jalan raya yang kami lalui tidak lagi bertar, hanya berbatu krikil dengan permukaan jalan yang tidak lagi rata seperti sebelumnya. Sekali-kala berselisih dengan lori-lari yang mengangkut kayu balak. Salain lori balak, hanya kenderaan jenis pickup sahaja yang melalui jalan ini.

Setelah hampir setengah jam perjalanan dari Pekan Nabawan, kami melalui sebuah perkampungan kecil yang bernama Kampung Salarom Taka. Pada mulanya perjalanan konvoi telah pun melepasi perkampungan ini, akan tetapi pandangan kami terhadap sebuah rumah panjang berwarna kuning di kampung tersebut begitu menggamit. Setelah berhenti kira-kira 1 KM dari tersebut, rombongan mengambil keputusan untuk berpatah balik dan berkunjung semula ke kampung tersebut.

Rombongan konvoi terus menuju dan berhenti di perkarangan sebuah rumah panjang kami hanya ingin singgah sebentar dan beramah mesra dengan beberapa pemuda dan kanak-kanak yang kebetulan berada di rumah panjang tersebut. Walau bagaimanapun hasrat tersebut bertukar tanpa dijangka bila mana rombongan kami dilayan mesra dan para pemuda tersebut mempelawa kami memasuki dewan serba guna yang terletak di bahagian tengah rumah panjang tersebut.

Tanpa berlengah masa, kaum wanita dan anak-anak gadis remaja menghidangkan kami dengan kopi,teh dan milo serta hidangan ringan sepeti maruku, kuih lidah dan biskut. Kami juga dimaklumkan Ketua Kampung akan turut bersama-sama kami di dewan ini sebaik beliau pulang dari kebun.

Sementara menunggu kehadiran Tok Ketua, wakil dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU) telah membuka kaunter kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Penduduk yang pada mulanya seperti malu-malu untuk mendekati kaunter ini namun apabila melihat kemesraan yang ditunjukkan oleh wakil-wakil PKU iaitu En. Sarif, Pn Nor Azlina dan En Jamal, mereka telah beramai-ramai turun untuk membuat pemeriksaan. Tidak ketinggalan anak-anak kecil dan ibu mengandung.

Setelah hampir 30 minit berada di situ, Ketua Kampung, En.Mandaun Ampungit tiba dan bersalam dengan semua rombongan. Prof. Dr. Jailani Md Yunos selaku Ketua Rombongan telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan menyatakan  penghargaan pihak UTHM kepada penduduk kampung yang memberi  layanan mesra kepada kami walaupun secara spontan dan tidak dirancang. Tok Mandaun dalam ucapan balasnya turut terharu dan berterima kasih atas kesudian UTHM berkunjung ke kampung ini.

Menurut Tok Mandaun, penduduk kampung Salarom Taka ini baru tiga tahun lebih tinggal di rumah panjang di sini. Mereka berasal dari sebuah kampung yang bernama Salarom yang terletak di kawasan Pansiangan, kira-kira tiga hari perjalanan dari Salarom Taka [Kampung Salarom pernah dikunjung Allahyarham Tun Ghaffar Baba ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Mereka dipindahkan oleh pihak kerajaan atas alasan pembangunan dan disediakan kemudahan rumah panjang dan sebuah sekolah rendah. Apabila berpindah, mereka mengekalkan nama Salarom tetapi menambah perkataan Taka di hujungnya.

Pada ketika ini 20 keluarga mendiami rumah panjang ini dan jumlah ahli keluarga seramai 300 orang. Hampir kesemua penduduk kampung dari suku kaum Murut ini beragama Kristian dan aktiviti utama mereka adalah berkebun dengan tanaman utama adalah padi, lada dan labu.

Walaupun terletak di kawasan pedalaman, kemudahan sekolah rendah yang disediakan Kerajaan di kampung ini telah membolehkan kesemua anak-anak penduduk di sini menerima pendidikan yang sempurna. Kesempatan bersama para pelajar sekolah di sini telah diambil oleh Pengarah Pusat Kaunseling dan Pembangunan Kerjaya UTHM, Dr. Asri Selamat bagi menerangkan peluang-peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi serta tips-tips belajar kepada mereka.

Wakil dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTHM turut mengambil kesempatan menghulur khidmat dengan membuka meja kesihatan kepada para penduduk. Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Pelbagai peringkat usia, lelaki dan wanita termasuklah ibu-ibu mengandung telah menerima pemeriksaan kesihatan dan ubat-ubatan percuma dai pihak UTHM. Tidak ketinggalan membuat pemeriksaan kesihatan adalah Tok Mandaung sendiri.

Rombongan konvoi UTHM turut dihiburkan dengan persembahan kugiran yang dipersembahkan oleh anak-anak muda kampung tersebut dengan dendangan dua lagu tempatan berjudul Kurnutahol dan Kinabalu (Duet bersama pelajar UTHM Saudara Arif). Para remaja wanita pula tidak ketinggalan menghiburkan peserta rombongan dengan Tarian Semazau yang mengasyikkan hingga menarik sebahagian peserta menyertai mereka menari.

Walaupun hanya singgah bagi tempoh yang singkat (kira-kira dua jam) kemesraan yang terjalin begitu terasa. Setelah selesai sesi bergambar dan mengedarkan makanan ringan (jajan) kepada anak-anak kecil di situ, Konvoi diteruskan lagi ke destinasi seterusnya iaitu Tawau.

Oleh Shafry Salim

 

 

 

 

 

 
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour

Last Update

Last update:
20 May 2013 12:04
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.