Login | FAQs | About UTHM Portal
Laman Utama arrow Info Korporat arrow Sejarah arrow Tun Hussein Dato' Onn
Sejarah Tun Hussein Bin Dato' Onn Cetak Emel
Hear this article

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn 

Tun Hussein bin Dato’ Onn
(1922 – 1990) 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengguna pakai nama seorang tokoh negarawan Malaysia yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga (1976-1981). Putera sulung, Dato’ Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein ini diputerakan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan menerima pendidikan sekolah rendah di Singapura dan peringkat menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) Johor Bahru. Setelah tamat persekolahan, beliau menyertai Angkatan Tentera Timbalan Setia Negeri Johor sebagai pegawai kadet sehingga dipilih menyertai Akademi Tentera India, Dehradun, sebuah akademi latihan ketenteraan yang tersohor dalam empayar British ketika itu.  

Selepas ditauliahkan dalam tahun 1942, bermulalah karier Tun Hussein dalam perkhidmatan tentera Regimen Hyderabad di India dan seterusnya berkhidmat di Timur Tengah meliputi Mesir, Syria, Palestin dan Iraq dengan menyandang pangkat Kapten.  Dengan semangat keperwiraan, beliau juga bertanggungjawab untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penaklukan Jepun bersama-sama dengan tentera India dan British ketika itu. Apabila Perang Dunia Kedua berakhir, perkhidmatan beliau diteruskan sebagai pengajar di Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya (‘Malayan Police Recruiting and Training Centre’) Rawalpindi, India dan kemudiannya dilantik sebagai Komandan Depot Polis Malaya, Johor Bahru pada tahun 1945.

Kecemerlangan dalam perkhidmatan tentera diteruskan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu apabila beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah  Segamat, Johor. Malah beliau juga pernah mencurah khidmat bakti sebagai Pegawai Daerah di  Klang dan Kuala Selangor. Namun begitu, beliau meletakkan jawatan untuk menyertai politik dengan dilantik sebagai Ketua Pemuda pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (UMNO) dalam tahun 1949 dan setahun kemudian (1950) dilantik sebagai Setiausaha Agung parti tersebut. Di samping itu beliau juga menjadi ahli dalam Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor. Apabila ayahandanya keluar daripada UMNO dalam tahun 1951 dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independent Malaya Party, IMP), beliau juga mengambil langkah yang sama. Setelah IMP tidak mendapat sambutan, beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Lincoln’s Inn, London sehingga lulus sebagai peguam bertauliah dan berkhidmat di Firma Skrine and Company, Kuala Lumpur.

Tun Hussein mendaki kejayaan demi kejayaan dengan pantas setelah menyertai semula UMNO dengan memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru Timur dalam pilihan raya umum tahun 1969. Pada 22 September 1970 beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dengan membawa idea-idea baru seperti meletakkan syarat lulus bagi subjek Bahasa Malaysia dalam peperiksaan awam ke arah membentuk identiti bangsa dan membina perpaduan di kalangan rakyat, sistem kuota diperkenalkan bagi kemasukan ke kursus ikhtisas di universiti tempatan dan memulakan langkah ke arah penubuhan Universiti Pertanian Malaysia. Tangga kejayaan didaki oleh beliau apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 dan seterusnya sebagai Perdana Menteri pada 15 Januari 1976.   Tun Hussein telah meneruskan dasar-dasar kepimpinan Tun Abdul Razak yang merupakan teras kepada pembangunan negara. Malah bagi mengukuhkan dasar terdahulu, beliau telah melancarkan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dalam tahun 1981 yang bertujuan meningkatkan ekuiti bumiputera untuk menikmati kemakmuran ekonomi negara selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di samping itu, beliau telah melancarkan Rukun Tetangga, Lembaga Perpaduan Negara, Koperasi Usaha Bersatu, Rancangan Malaysia Ketiga termasuk menghadapi ancaman dadah dengan merasmikan PEMADAM dan anasir komunis dengan mengukuhkan angkatan bersenjata sebagai benteng kedaulatan negara. 

Tun Hussein memiliki personaliti cermat, teliti dan berdisiplin telah berjaya memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah yang mengancam keselamatan negara. Beliau tidak akan bertolak ansur terhadap unsur-unsur yang mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan atau dengan kata lain keamanan negara digugat oleh anasir-anasir subversif. Malah perwatakan yang sederhana  yang disulam dengan pendekatan yang tegas telah memperlihatkan keikhlasan beliau memperjuangkan perpaduan di Malaysia. Gelaran ‘Bapa Perpaduan’ sangatlah sesuai seperti mana akronim huruf pangkal nama beliau, ‘HUSSEIN’  yang menjelaskan ciri-ciri perpaduan yang hendak dicapai dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. Akronim di bawah menjelaskan ciri-ciri tersebut;
  • H     Harmony
  • U     Unity
  • S     Security
  • S     Survival
  • E     Efficiency
  • I     Integrity
  • N    National
Tun Hussein telah meninggalkan jasa yang menjadi teras dalam pentadbiran Perdana Menteri selepas beliau yang menekankan nilai amanah, bersih, integriti dan lain-lain ke arah masa depan yang cemerlang. Tanggal 29 Mei 1990 beliau kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung di Daly City, California, Amerika Syarikat dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Al-Fatihah.  
Terakhir dikemaskini ( Selasa, 19 Januari 2010 )
 
logo-25-tahun-menegak_95.jpg
Technically Above The Rest
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. Hak cipta terpelihara.

Laman ini tertakluk kepada Penafian, Dasar Privasi, Dasar Keselamatan & Notis Hak cipta yang dinyatakan.

Laman web ini sesuai dilayari menggunakan Internet Explorer "Compatibilty View activated" dan Mozilla Firefox dengan paparan resolusi 1024x768.