|
Lima orang pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal UTHM menyertai PIAGAM 2010 |
|
|
Kota Kinabalu, 28 Jun 2010 Seramai 5 orang pelajar dan 2 orang pensyarah pengiring telah berjaya menyertai Program Integrasi Antara Guru Awalan Malaysia (PIAGAM) 2010 yang telah diadakan bermula pada 20 - 27 Jun 2010 di 6 Daerah Pedalaman di Negeri Sabah. Program yang pada mulanya telah diilhamkan oleh Dato Naib Canselor UTHM itu mendapat perhatian pihak Majlis Dekan-dekan Fakulti Pendidikan IPTA Malaysia. Universiti Malaysia Sabah telah menjadi tuan rumah kepada semua peserta PIAGAM IPTA. Sebanyak 6 buah sekolah yang berada dikawasan pedalaman telah dipilih termasuklah SMK Timbua di Ranau, SMK Bongkol di Pitas (Pesisir), SMK Kemabong di Tenom (Pergurungan) , SMK Pulau Banggi di Kudat (Pulau), SMK Telaga di Pitas (Pedalaman) dan SMK Sepulut di Nabawan (Pedalaman). Pelajar yang terpilih ialah Saudara Mohd Shahrul Hafiz Kamaruddin, Abdul Rahim Mohamad, Idham Shukri Ishak, Nurul Mahzahidah Mazlan dan Nor Nazifah bt Muhmed juga diiringi oleh dua pensyarah pembimbing iaitu Dr Razali Hassan dan Pn D'oria Islamiah Rosli. Antara objektif PIAGAM ialah memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar Program Pendidikan berkaitan senario sebenar peranan kehidupan harian sebagai seorang guru di luar bandar. Pelajar-pelajar juga dapat didedahkan dengan kemahiran sosial diantara peserta, melakukan penyelidikan, khidmat masyarakat dan pengurusan sumber pengajaran dan pembelajaran di sekolah pedalaman. Melalui pemerhatian dan sesi refleksi yang telah dibuat pada malam terakhir program tersebut menunjukkan mereka sangat teruja dengan pengalaman yang telah dilalui selama 5 hari 4 malam berada di lokasi tersebut. Semua peserta menyatakan kesediaan untuk ditempatkan semula selepas tamat pengajian. Ini merupakan petanda positif ke arah melahirkan guru-guru yang lebih bersedia dan berani menerima cabaran dalam melaksanakan tugas dan tanggunjawab bertugas di pedalaman.
|