Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News Archive arrow KMJ tonjol elemen kedaulatan diraja
KMJ tonjol elemen kedaulatan diraja Print E-mail
Hear this article

PROGRAM Kembara Mahkota Johor (KMJ) Bermotosikal 2010 selamat melabuhkan tirainya di Kota Tinggi baru-baru ini. Sepanjang tiga hari mengembara, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan jarak 777 kilometer menjelajah enam daerah di negeri Johor iaitu Pontian, Batu Pahat, Muar, Ledang, Mersing dan Kota Tinggi.

KMJ 2010 dianjurkan bagi memenuhi permintaan dan harapan rakyat di enam daerah tersebut yang sebelum ini hanya menyaksikan dari jauh Sultan Johor mengembara menaiki tren pada Jun lalu yang hanya melalui empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Segamat.

Program KMJ 2010 ini sudah menjadi jenama yang cukup kuat dan begitu sinonim dengan Sultan Ibrahim kerana program yang dimulakan baginda pada 2001 ini saban tahun telah berkembang dengan pesat sama ada dari sudut jumlah penyertaan, acara dan publisiti.

KMJ 2010 juga menjadi medan terbaik bagi Sultan Ibrahim dan kerabat diraja Johor untuk berdamping dan bermesra dengan rakyat jelata tanpa kekangan protokol yang lazimnya dilaksanakan dalam acara lain melibatkan golongan istana.

Melalui program ini, baginda dapat melihat sendiri pembangunan di seluruh negeri serta mendengar keluhan mahupun pandangan rakyat secara terus dan tidak melalui mana- mana perantara.

Adakalanya permasalahan yang diadukan terus mendapat maklum balas segera baginda dengan menitahkan pihak yang berkaitan memberi bantuan atau mengambil langkah sewajarnya. Atas sebab ini jugalah, Sultan Ibrahim membawa bersama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan menyertai setiap acara yang dianjurkan.

Selain itu, KMJ 2010 juga menjadi medan terbaik bagi ketua-ketua jabatan negeri mahupun Persekutuan di Johor beramah mesra dan bertukar pandangan berkenaan agensi masing- masing.

Penulis dapat melihat sendiri situasi ini khususnya semasa kembara menggunakan tren yang berlangsung pada Jun lalu apabila semua ketua jabatan dihimpunkan di dalam satu gerabak khas dan mereka dapat menghabiskan banyak masa sepanjang perjalanan dengan berinteraksi dan berkenalan dengan lebih dekat.

Tanpa program sebegini, belum tentu mereka ada kesempatan untuk duduk bersama dari pagi hingga ke malam dalam suasana yang cukup santai dan mesra.

Dalam setiap pertemuan dengan rakyat jelata, Sultan Ibrahim juga tidak kekok untuk bermesra dengan pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan tua atau muda mahupun kanak-kanak. Baginda tidak kekok untuk mengendong bayi, mengusik anak-anak kecil mahupun berseloroh dengan mak cik-mak cik di dapur!

Dalam ketegasan, baginda sebenarnya memiliki sifat humornya tersendiri. Sifat inilah yang menjadikan baginda amat disayangi dan mudah didekati rakyat jelata.

Keterbatasan waktu bukan penghalang bagi baginda merasai dan mencuba pelbagai aktiviti harian yang dilalui oleh rakyatnya. Dalam program KMJ 2010 ini, rakyat dapat bersama-sama baginda bermain sepak raga, bola sepak, berbasikal, mengukur kelapa, memasak, menabur benih padi dan sebagainya.

Yang menariknya, sebahagian daripada aktiviti itu turut disertai isteri baginda, Raja Zarith Sofiah, putera-putera dan puteri baginda yang sentiasa teruja untuk turun padang bertemu rakyat jelata.

Program KMJ 2010 ini juga bukan sahaja menyerlahkan keperibadian unggul dan daya kepimpinan baginda, malah turut memperlihatkan minat serta bakat peribadi baginda. Umum mengetahui bahawa baginda meminati dan memiliki kemahiran dalam dunia pemotoran. Cakap sahaja kenderaan apa, hampir kesemuanya mampu dikemudi baginda, daripada motosikal berkuasa tinggi, helikopter, kapal terbang mahupun bot laju.

KMJ 2010 turut mencatat sejarah peribadi baginda apabila ditauliahkan Lesen Memandu Lokomotif Kelas 26 yang melayakkan baginda memandu kereta api. Pentauliahan ini telah membolehkan baginda menerima sijil pengesahan daripada The Malaysia Book of Records dengan tajuk pengiktirafan The First Sultan to Receive Locomotive Driving Licence Class 26.

Setelah 10 tahun mengembara dalam 13 edisi KMJ, Sultan Ibrahim telah menjelajah hampir seluruh jajahan negeri Johor di daratan, sungai, hutan, laut mahupun pulau. Kembara baginda bukan sekadar berjalan 'makan angin', sebaliknya baginda menyelami, memahami dan mengambil peduli terhadap setiap keluhan pemimpin masyarakat. Baginda bertindak merentasi birokrasi dan protokol demi kesejahteraan rakyat yang dinaungi. Tidak hairanlah KMJ begitu dekat di hati rakyat Johor, malah kehadirannya sentiasa dinantikan.

Keseluruhannya, KMJ telah membina aura dan kemasyhurannya sendiri. Kekuatan namanya bakal dicatat dalam sejarah Johor. Sultan Ibrahim telah menyentak kita terhadap istilah 'Daulat' yang selama ini sering dikaitkan dengan unsur magis dan keluarbiasaan. Daulat sebenar yang ditonjolkan oleh baginda melalui KMJ ini penuh dengan elemen kasih sayang, ambil peduli dan prihatin seorang raja kepada rakyatnya.

Penulis ialah Pegawai Perhubungan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat, Johor

 
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour

Last Update

Last update:
29 October 2014 14:23
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.