News Archive
UTHM plans to introduce Locomotive Engineering programme | UTHM plans to introduce Locomotive Engineering programme |
|
|
|
(Utusan Malaysia 13 Okt 2010)
BATU PAHAT 12 Okt. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merancang memperkenalkan program Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kereta Api di kampus baru di Kluang bermula Julai tahun depan. Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, jika berjaya dilaksanakan, UTHM bakal menjadi universiti pertama mewujudkan program tersebut di Asia Tenggara. "Kami juga telah berbincang dengan Universiti Sheffield Hallam, England untuk mewujudkan program kerjasama bagi membolehkan penuntut menerima dua Ijazah Sarjana iaitu dari UTHM dan Sheffield Hallam. "Kami menyasarkan pengambilan pertama seramai 50 penuntut bagi melahirkan jurutera kereta api seiring potensi besar bidang ini terutamanya dengan kewujudan landasan kereta api elektrik berkembar," katanya baru-baru ini. Mohd. Noh berkata, UTHM kini memiliki penuntut sarjana muda yang sedang melengkapkan projek tahun akhir dengan fokus dalam kejuruteraan kereta api, sesuai menyambung pengajian dalam program baru itu. Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan separuh penuntut program baru itu terdiri daripada penuntut antarabangsa. Katanya, pasukan penyelidik UTHM menjalankan kajian sejak 2007 untuk mewujudkan program baru itu yang mempunyai potensi luas untuk dimajukan di negara ini. "Kita ada komuter, mungkin masa depan kereta api laju ke Singapura. Ini menuntut lebih ramai jurutera kereta api tempatan yang berwibawa. "Bukan sahaja dalam negara, tetapi kepakaran mereka juga diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran di Asia Barat," katanya. Beliau memberitahu, teknologi kejuruteraan kereta api merangkumi pelbagai bidang antaranya kejuruteraan elektrik, elektronik, mekanikal dan teknologi maklumat. Beliau yakin, kereta api laju bakal menjadi antara sistem pengangkutan utama di negara ini dan tenaga tempatan perlu dipersiapkan untuk mengisi jawatan jurutera kereta api profesional. Mohd. Noh berkata, UTHM juga mempunyai jumlah tenaga pengajar yang mencukupi untuk mengendalikan program baru itu. Sementara itu, beliau berkata, Kluang dipilih kerana daerah itu mempunyai landasan kereta api yang beroperasi selain ia berdekatan kampus induk di Parit Raja. "Kedai kopi di stesen kereta api Kluang bagaikan ikon kepada daerah itu. "Kewujudan program ini juga dilihat seiring dengan ikon daerah itu selain kepentingan utama untuk menjalani pengajian secara praktikal di landasan kereta api," katanya. Katanya, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengenai rancangan mewujudkan program baru itu. |
| Prospective Students |
| Current Students |
| Alumni |