|
UTHM Anjur Seminar Antarabangsa Empayar Johor-Riau 2010 |
|
|
Fakulti Sains, Sastera dan Warisan (FSSW), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan SEMINAR Antarabangsa Empayar Johor-Riau 2010 bertemakan "Sejarah dan Warisan Cerminan Intelektualisme Bangsa" di Dewan Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, bermula 5 hingga 7 November ini.
Skop pembentangan dan perbincangan difokuskan kepada pelbagai aspek yang menyumbang kepada dunia warisan alam Melayu. Antaranya sejarah yang akan membabitkan perbincangan mengenai perkembangan politik dan ekonomi empayar Johor-Riau. Perbincangan dalam aspek kesusasteraan Melayu pula bertumpu kepada naskhah sastera Melayu atau sub-etnik dalam rumpun Melayu seperti Jawa, Bugis dan Banjar serta peranan pusat peradaban Melayu di empayar itu. Aspek antropologi dan sosiologi pula mengenai etnografi entiti masyarakat pribumi, budaya etnisiti, penempatan dan morfologi kampung tradisional serta peraturan hidup sesebuah masyarakat terpencil yang boleh diangkat sebagai warisan bersama, Pengajian Islam pula membabitkan perkembangan pendidikan Islam di alam Melayu yang meliputi pesantren, pondok dan madrasah serta sumbangan tokoh ilmuwan Islam, pendekatan dakwah dan tarbiah Islamiah dan pensejarahan kitab kuning di empayar Johor-Riau.
Kegiatan arkeologi pula merujuk kepada kerja cari gali, pemuliharaan bahan warisan dan penemuan serta sumbangannya terhadap kefahaman sejarah Johor di wilayah bekas empayar Johor-Riau.
Seminar ini turut merangkumi aspek sains dan teknologi, iaitu hubungan ilmu sains, teknologi dan alam sekitar yang menumpukan aspek kaedah pemuliharaan dan pemeliharaan yang ada kaitan dengan sistem ekologi dan warisan maritim di wilayah Johor, Riau dan Lingga, Seminar itu dirancang atas kesedaran bahawa penyuburan dan perkongsian ilmu antara pakar mahupun masyarakat diperlukan bagi menggalakkan kelestarian warisan sejagat, sekali gus mendorong FSSW merancak dan menyuburkan percambahan ilmu dan menghayati budaya intelektual di kalangan ahlinya dan masyarakat.
FSSW mengharapkan seminar ini dapat memberi pendedahan kepada peserta terhadap pelbagai ilmu dan kajian terkini berkaitan epistemologi ilmu dan teori ilmu warisan. Ia juga diharap dapat membuka ruang penyelidikan kepada peserta untuk meneruskan penyelidikan agar dapat dikembang dan dimanfaatkan sepenuhnya,
Selain itu, kenyataan itu berkata, seminar yang mendapat kerjasama Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) juga bermatlamat untuk meningkatkan budaya mencintai dan menghargai ilmu melalui perkongsian maklumat di kalangan pembentang kertas kerja dan peserta.
Seminar itu juga berobjektif untuk mewujudkan jaringan pelbagai kepakaran dalam bidang sejarah dan warisan antara ahli akademik dan profesional, selain menghasilkan bahan dokumentari seperti prosiding dan buku berkaitan aspek sejarah dan warisan empayar Johor-Riau.
Yuran penyertaan pembentang dan peserta tempatan ialah RM500; peserta antarabangsa (RM619/AS$200) dan pelajar (RM200), manakala maklumat lanjut hubungi talian 012-6482850/013-7792367; e-mel
Alamat emel ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan benarkan Javascript untuk melihatnya
/ hussain@uthm.edu.my atau lawati laman web http://fssw.uthm.edu.my/sejori2010
|
|
Terakhir dikemaskini ( Ahad, 07 November 2010 )
|