Arkib Berita
152 Staf Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang | 152 Staf Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang |
|
|
|
Seramai 152 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima Anugerah Perkhimatan Cemerlang 2009 sebagai pengiktirafan sumbangan dan perkhidmatan cemerlang staf terhadap pembangunan unit, jabatan, bahagian dan universiti. Selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang itu, Universiti juga turut menganugerahkan beberapa pengiktirafan lain iaitu Anugerah Inovasi Universiti, Anugerah Penyelidik Universiti, Anugerah Khas Cuti Belajar, Anugerah Penerbitan, Anugerah 5S dan Anugerah Sukan. Timbalan Pengarah (Sains Tulen, Sains Sosial, Sains Komputer dan Matematik), Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mustafa Mat Deris dinobatkan sebagai pemenang bagi dua anugerah utama iaitu Anugerah Penyelidik Universiti dan Anugerah Tokoh Penerbitan Universiti, manakala seorang pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, En. Mohd Helmy Abd Wahab kekal sebagai penerima Anugerah Penulis Muda dua tahun berturut-turut. Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin berkata, program berkenaan merupakan satu usaha UTHM dalam menyuburkan pembudayaan kerja cemerlang dalam kalangan staf membabitkan semua aspek sejajar dengan visi dan misi universiti. “Semua staf turut berjaya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dengan penuh efisen, berkualiti, selamat, mesra pelanggan, mampu memberikan input dan perkhidmatan yang tertinggi selari dengan motto universiti, ‘Dengan Hikmah Kita Meneroka’,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 yang berlangsung pada 30 November 2010. Beliau juga amat positif mengenai komitmen dan pencapaia yang telah dilakukan oleh semua warga kerja dan universiti sepanjang tahun 2009. “Kita sememangnya telah mencapai sesuatu yang terbaik berbanding dengan tahun 2008 dan saya pasti ini adalah hasil daripada keazaman yang telah berjaya disematkan dalam setiap diri warga kerja universiti bagi memastikan kejayaan terus menjadi milik kita,” jelasnya. Beliau juga mengingatkan bahawa masih banyak cabaran-cabaran yang perlu ditangani seiring dengan peredaran masa dan kerjasama sebagai sebuah pasukan amat diperlukan. “Warga kerja yang berilmu, kreatif, kritis dan berinovatif merupakan komponen penting yang perlu dimiliki di dalam sesebuah organisasi yang sentiasa inginkan kecemerlangan kerana dengan menggunakan ilmu dan mempraktikkan kemahiran yang ada dalam melaksanakan tugasan mereka dengan lebih lancar,” ujarnya. Sehubungan itu beliau menyeru kepada seluruh warga kerja UTHM supaya menjadikan anugerah itu sebagai inspirasi bagi terus memacu prestasi ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan. Sementara itu, Naib Canselor turut menyempurnakan pelancaran lapan buah buku terbitan UTHM. Turut hadir Ketua Penerbit, Prof. Madya Dr. Hj. Ismail Abdul Rahman.
Disediakan Oleh; |
|
| Terakhir dikemaskini ( Khamis, 02 Disember 2010 ) |
| Bakal Pelajar |
| Pelajar |
| Alumni |




