Arkib Berita
UTHM Perkasakan Pengajian Peringkat Diploma | UTHM Perkasakan Pengajian Peringkat Diploma |
|
|
|
UTHM Perkasakan Pengajian Peringkat Diploma 1. Mengapakah UTHM mengambil langkah untuk memperkasakan program diploma?
1.1 Peluang Lebih Terbuka UTHM mengambil langkah untuk memperkasakan pengajian Diploma bertujuan untuk membuka ruang dan peluang kepada calon-calon pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Politeknik, Sijil Kolej Komuniti dan institusi latihan lain yang diiktiraf untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat Diploma dan seterusnya yang lebih tinggi khususnya di UTHM. Selain itu juga graduan-graduan program Diploma UTHM yang berteraskan teknologi kejuruteraan akan dapat mengisi kekosongan jawatan separa profesional di pasaran pekerjaan negara khususnya di bidang kejuruteraan.
1.2 Selaras Dengan Hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Langkah yang diambil oleh UTHM juga adalah selaras dengan hasrat pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk memperkasa dan mengarusperdanakan program-program Diploma di IPTA agar program-program Diploma menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Ianya dimaklumkan sendiri oleh YB Menteri Pengajian Tinggi dalam ucapannya pada majlis perasmian Karnival Pengajian Tinggi "Jom Masuk U" di Pusat Dagangan Terengganu pada 14 Januari 2011 yang lalu. 2. Apakah strategi yang dilakukan oleh UTHM untuk memperkasakan program diploma?
2.1 Penubuhan Pusat Pengajian Diploma UTHM telah menubuhkan Pusat Pengajian Diploma pada November 2009 khusus untuk menjadi pemangkin kepada pengukuhan dan pemantapan penawaran dan pengendalian semua program Diploma di UTHM. Strategi ini juga berupaya melonjakkan program-program Diploma UTHM di samping menambah dan menyediakan peluang yang lebih terbuka bagi para mahasiswa melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Sarjana Muda dan sekaligus dapat memenuhi aspirasi negara dalam meningkatkan jumlah modal insan kelas pertama. Tujuh (7) program Diploma yang sebelum ini dijalankan di bawah urusan fakulti-fakulti yang berkenaan telah dipindahkan pengurusannya ke Pusat Pengajian Diploma bermula bulan Jun 2010. Program tersebut adalah: 1. Diploma Kejuruteraan Awam 2. Diploma Kejuruteraan Awam serta Teknologi 3. Diploma Kejuruteraan Elektrik 4. Diploma Kejuruteraan Elektrik serta Teknologi 5. Diploma Kejuruteraan Mekanikal 6. Diploma Kejuruteraan Mekanikal serta Teknologi 7. Diploma Teknologi Maklumat
2.2 Promosi Program Diploma UTHM juga telah meningkatkan aktiviti promosi program Diploma dengan menyertai program Karnival Pengajian Tinggi Negara "Jom Masuk U" ke seluruh negara anjuran pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Di samping itu juga promosi ke sekolah-sekolah Menengah Teknik, sekolah harian sekitar negeri Johor juga dilakukan dalam usaha untuk meningkatkan jumlah pengambilan pelajar Diploma ke UTHM dengan unjuran enrolmen pelajar berjumlah 2500 orang menjelang tahun 2015.
Pengurangan Tempoh Pengajian Untuk memenuhi hasrat YB Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, mulai pengambilan semester 1 sesi 2011/2012, Pusat Pengajian Diploma akan menawarkan 4 program Diploma yang asalnya 3 tahun kini dikurangkan tempoh pengajian kepada 2½ tahun tanpa mengurangkan jumlah kredit, isi kandungan kurikulum dan silabus program-program yang ditawarkan. Program-program yang dipendekkan tempoh pengajian tersebut ialah Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma Teknologi Maklumat. Dengan memendekkan tempoh pengajian kepada 2½ tahun, pelajar-pelajar dapat menjimatkan tempoh pengajian seterusnya jumlah pembiayaan yang perlu ditanggung oleh ibubapa dan penjaga dapat dikurangkan.
2.4 Peluang Melanjutkan Pelajaran di UTHM Universiti mengambil langkah dengan menawarkan 100% pelajar Diploma yang berada di semester akhir secara bersyarat untuk memasuki mana-mana program Ijazah Sarjana Muda yang bersesuaian di UTHM. Dengan penawaran kemasukan ke program-program ijazah di UTHM, para graduan Diploma UTHM tidak perlu memohon ke IPTA lain. Kesinambungan pengajian daripada peringkat diploma ke peringkat ijazah di tempat yang sama juga akan memberi kelebihan kepada pelajar. Pelajar-pelajar tidak perlu menyesuaikan diri di tempat baru sekaligus dapat mengurangkan tekanan ke atas mereka dan dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dengan cepat.
2.5 Program-Program Baru Diploma Bermula sesi pengajian 2012/2013, lima (5) lagi program baru akan ditawarkan iaitu 4 program teknologi kejuruteraan dan 1 program sains gunaan. Program-program yang baru mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi tersebut ialah Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam, Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Diploma Sains Gunaan. Lebih banyak program baru sedang dirancang dan akan ditawarkan di bawah PPD sebaik sahaja program-program tersebut diluluskan penawarannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
3 Apakah Keistimewaan Program-program Diploma yang Ditawarkan di UTHM?
3.1 Pengiktirafan Kesemua program-program Diploma yang ditawarkan di UTHM adalah diiktiraf oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam. Ini bermakna graduan Diploma UTHM adalah layak untuk memohon jawatan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam.
3.2 Peluang kepada Pelajar Aliran Sains dan Bukan Sains Program-program Diploma yang ditawarkan di UTHM memberi peluang kepada pelajar dari aliran sains untuk mengikuti program-program kejuruteraan yang ditawarkan dan Program Diploma Teknologi Maklumat juga membuka peluang kepada pelajar bukan aliran sains untuk mengikuti program tersebut.
3.3 Yuran Pelajaran yang Rendah Yuran pelajaran bagi program Diploma adalah kompetitif berbanding IPTA lain. Yuran pelajaran yang dikenakan hanya RM225/semester.
3.4 Tenaga Pengajar yang Kompeten Tenaga pengajar yang terdapat di Pusat Pengajian Diploma adalah mereka yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang luas untuk mengendalikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.
3.5 Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran UTHM, bermula pada 2005 telahpun mengamalkan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Hasil (Outcome Based Education) yang mana aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih berfokus kepada pelajar berbanding kaedah biasa yang berfokuskan pensyarah.
3.6 Infrastruktur dan Fasiliti UTHM mempunyai infrastruktur dan fasiliti yang termaju contohnya perpustakaan UTHM yang menyediakan perkhidmatan dan bahan-bahan rujukan terkini. Selain daripada itu, makmal-makmal juga mempunyai peralatan "state of the arts" yang menandingi peralatan-peralatan makmal universiti-universiti lain di Malaysia dalam bidang kejuruteraan.
3.7 Hubungan Dengan Industri Semua program Diploma yang ditawarkan adalah bertepatan dengan keperluan industri. Pusat Pengajian Diploma juga mempunyai Jawatankuasa Penasihat Industri yang mana mereka akan sentiasa memberikan nasihat dan saranan untuk penambahbaikan kurikulum menurut keperluan industri.
Disediakan oleh Pusat Pengajian Diploma Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Mac 2011 |
| Bakal Pelajar |
| Pelajar |
| Alumni |