Dr Azlina Md Yasin dianugerahkan “Innovation Paper Award” sempena “6th
International Real Estate Research Symposium 2012”
Bangi 25 April. Makalah yang bertajuk "Waterfront Development in Malaysia: Practise and Motivation" hasil penulisan Dr. Azlina Binti Md. Yassin bersama Prof. Dr. Sandy Bond, dan Assc. Prof. John McDonagh telah dinobatkan sebagai penerima anugerah "Innovation Paper Award" sempena "6th International Real Estate Research Symposium 2012", yang telah diadakan di Bangi, Selangor pada 24 hingga 25 April, 2012. Beliau merupakan pensyarah daripada Jabatan Pengurusan Harta Tanah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan, Perniagaan (FPTP), UTHM.
International Real Estate Research Symposium atau lebih dikenali sebagai IRERS merupakan persidangan harta tanah yang dianjurkan dua tahun sekali. Ia merupakan platform utama kepada penyelidik dalam bidang ini untuk berbincang, berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan isu-isu semasa harta tanah, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
6th International Real Estate Research Symposium (IRERS) 2012 telah dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama Institut Penilaian Negara (INSPEN), dan beberapa institusi dan universiti tempatan dan luar negara antaranya, The Royal Institution of Surveyor, Malaysia, London South Bank University, University of Ulster, University of Western Sydney, University of Reading, University of Hong Kong dan Queensland University of Technology, Australia. Dengan mengangkat tema "GLOBALISATION OF REAL ESTATE: TRANSFORMATION AND OPPORTUNITIES", International Real Estate Research Symposium (IRERS) 2012 telah berjaya mengabungkan lebih 200 delegasi di dalam bidang harta tanah daripada lebih 35 buah negara termasuk Australia, Brunei, Malawi, Indonesia, Hong Kong, Zimbabwe dan Mauritius.
6th IRERS, 2012 telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II Malaysia iaitu Yang Berhormat Dato' Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.
Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia iaitu Yang Berhormat Dato' Sr. Abdullah Thalith Md. Thani dengan diiringi Pengarah, Institut Penilaian Negara (INSPEN); Yang Berhormat Datin Sr. Faridah Mohamed. Memetik ucapan Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Y.B Dato' Sr. Abdullah Thalith Md. Thani; "diharapkan agar persidangan antarabangsa ini akan menjadi medium penyampaian isu semasa dan pertukaran idea, serta dapat memanjangkan kerjasama di antara banyak pihak untuk berjaya mengharungi cabaran di dalam persekitaran yang kompetitf dan dinamik."