| UTHM lancar Kempen Berbasikal dalam Kampus |
|
|
|
Bagi menyokong usaha kelestarian kampus, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan melancarkan Kempen Berbasikal dalam Kampus pada 26 Jun ini bertempat di padang kawad UTHM. Kempen ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan warga kampus meminimumkan penggunaan kenderaan bermotor di dalam kampus dengan menggunakan basikal sebagai pengangkutan alternatif untuk ke tempat kuliah, masjid mahupun pejabat. Ia juga untuk memberi kesedaran kepada warganya menghargai alam sekitar dengan cara mengurangkan pembebasan karbon monoksida berlebihan dari enjin kenderaan. Selain itu, program ini juga adalah untuk membudayakan cara hidup sihat dengan menjadikan senaman berbasikal sebagai rutin harian. Sebanyak 100 unit basikal akan diedarkan kepada tiga kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Tun Syed Nasir, Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail dan Kolej Kediaman Tun Fatimah untuk kegunaan para penghuninya. Kesemua basikal tersebut adalah hasil sumbangan daripada Ahli Senat UTHM, UTHM Holdings dan juga beberapa kakitangan universiti. Penganjuran kempen berbasikal ini diselaraskan oleh Pusat Perumahan Dan Pengangkutan Pelajar (P2P) dengan kerjasama Unit Kampus Lestari,UTHM. Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dijangka akan menyempurnakan majlis pelancaran kempen tersebut dan beliau akan turut menyertai konvoi berbasikal mengelilingi kampus. Upacara pelepasan konvoi tersebut akan dimulakan dengan acara Senaman Kecergasan 1Malaysia. Seluruh warga kampus dijemput hadir untuk memeriahkan lagi majlis Pelancaran Kempen Berbasikal dalam Kampus ini.
|
| Prospective Students |
| Current Students |
| Alumni |