Login | FAQs | About UTHM Portal
Home arrow News arrow Menteri Mentor dampingi pelajar baharu UTHM
Menteri Mentor dampingi pelajar baharu UTHM Print E-mail
Hear this article
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammudin Tun Hussein merangkap Menteri Mentor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menemui kira-kira 2200 pelajar baru yang sedang mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) di kampus induk UTHM pada 6 September lalu.

Bersempena MHS yang berlangsung selama seminggu, Dato' Seri Hishammudin telah menyampaikan beberapa pesanan kepada pelajar yang baru sahaja bergelar mahasiswa UTHM. Selain mengucapkan tahniah kepada mereka beliau dalam ucapannya turut mengingatkan pelajar agar tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak bermoral dan sentiasa menjadi contoh kepada belia di dalam mahupun luar negara.

"saya menyeru kepada anda semua agar jauhi budaya negatif yang menjurus kepada perpecahan dan hargailah kemerdekaan yang kita kecapi sekarang dengan menolak budaya kebencian dan usaha menanam emosi kemarahan agar keharmonian negara dapat terus dikekalkan," katanya.

Tambahnya lagi sebagai belia yang juga pewaris negara, mereka hendaklah bersatu membuat pendirian dan tidak mudah menerima hasutan orang lain yang ingin melihat negara berada dalam keadaan porak peranda. Ini kerana masa hadapan negara ini terletak di tangan anak-anak bangsa itu sendiri dan rakyatnya berhak mengatur hala tuju negara ini.

Nasihat dan peringatan yang diberikan oleh beliau disambut dengan sorakan ‘We Want Peace' oleh pelajar baru sekaligus mempamerkan mahasiswa UTHM sememangnya mencintai keamanan dan bencikan perbalahan serta permusuhan.

Sementara itu, Dato' Seri Hishammudin turut menyempurnakan  upacara pelancaran Kad Diskaun Siswa 1Malaysia. Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) diwujudkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan objektif untuk membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar Institut Pengajian Tinggi seluruh negara.

Kad ini layak dimiliki oleh pelajar IPT berstatus warganegara yang mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat sijil, diploma, ijazah dan ke atas. Lebih 50 syarikat di Malaysia telah bersetuju untuk memberikan diskaun melalui kad KDS1M tersebut yang mana meliputi buku, alat tulis, pakaian, makanan, barangan IT, perkhidmatan kesihatan, termasuk juga percutian.

Sebelum itu beliau turut melancarkan kumpulan Twitter bagi warga pelajar UTHM dengan dikenali sebagai Twitupcampus UTHM. Kumpulan ini diwujudkan sebagai platform komunikasi santai dan terbuka di antara pimpinan mahasiswa dengan warga universiti khususnya pelajar dalam mengemukakan pendapat dan berkongsi sebarang permasalahan yang timbul sepanjang bergelar mahasiswa. Yang Berhormat Menteri Mentor turut mempamerkan sikap keterbukaan dan hubungan erat beliau dengan mahasiswa dengan berinteraksi secara aktif melalui kumpulan Twitter ini.

Hadir sama ke majlis tersebut isteri beliau, Y.M. Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah; Naib Canselor UTHM, Profesor Dato' Dr. Mohd. Noh Dalimin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Dato' Abdul Samad; Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad dan beberapa pegawai kanan universiti.


--
Shafry Salim
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
86400 Parit Raja, Batu Pahat Johor
Tel.: 07-453 7025 / 019-757 1007
Faks: 07-453 6548
Last Updated ( Rabu, 12 September 2012 )
 
W3C Disability Access Decrease Font Size Increase Font Size
default purple colour blue colour green colour

Last Update

Last update:
21 May 2013 15:14
© Universiti Tun Hussein Onn Malaysia 2009. All Rights Reserved.

This website is bound by the Legal Disclaimer, Privacy Policy, Security Policy and Copyright Notice mentioned.

This website is best viewed using Internet Explorer with Compatibility Viewed activated and Mozilla Firefox with screen resolution of 1024x768.