FPTV terajui mobiliti antarabangsa staf akademik UTHM
Hear this article
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baru-baru ini telah meletakkan penanda aras yang tinggi bagi pemerkasaan proses pengantarabangsaan apabila lapan staf akademik wanita FPTV menyertai Program Mobiliti Antarabangsa Staf Akademik di Korea Selatan pada 14 - 19 April 2016 lalu. 

Idea pelaksanaan program yang ditaja sepenuhnya oleh staf-staf terlibat adalah rentetan daripada perancangan ganjaran diri yang mana delegasi ini telah bersama-sama menyiapkan manuskrip ‘Issues in Learning & Teaching in the Malaysian TVET’ dalam dua versi pada awal tahun ini. Perancangan asal tersebut telah menjadi dorongan kepada staf-staf terlibat untuk terus melaksanakan aktiviti kerjasama penyelidikan dan akademik bersama pusat penyelidikan dan universiti di Korea Selatan.

Program yang berlangsung selama enam hari itu melibatkan diskusi bersama pengarah dan kumpulan penyelidik Center for Global Cooperation di Korea Research Institute of Vocational Education and Training (KRIVET), seminar perkembangan TVET di History Museum, pameran Program Hospitaliti Food Art Festival Daekyeung University yang diketuai oleh pemenang pereka kraf makanan peringkat dunia 2012-2015, lawatan mengenali dan memperhalusi struktur bangunan dalam program Binaan Bangunan di Namsangol Hanok Village, dan lawatan ketiga tempat Khazanah Negara Korea Selatan - National Folk Museum, The Korean Art, dan National Ginseng Institute. 

Hasil daripada program ini, FPTV telah mendapat perhatian KRIVET untuk menjalinkan kerjasama dalam aktiviti penyelidikan, kerjasama dalam Global HR Forum 2016 di Seoul, penyertaan KRIVET sebagai pengucaptama seminar FPTV World Congress on TVET (WoCTVET)  2016, dan jemputan syarahan Korean VET Development di FPTV.