UTHM akan menjadi tuan rumah Pertandingan Debat DiRaja ke-14 2010
Hear this article
 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM akan menjadi tuan rumah Pertandingan Debat DiRaja ke-14 2010 yang akan berlangsung dari 17 hingga 22  Disember 2010 yang akan datang. Pertandingan ini merupakan pertandingan debat antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di anjurkan bersama UTHM, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM). Penganjuran Pertandingan Debat Di Raja Antara IPTA Malaysia dilaksanakan secara bergilir-gilir di kalangan IPTA.

Objektif utama pertandingan debat ini ialah untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan menjunjung nilai intelek serta menyemai semangat dan budaya membaca aras tinggi di kalangan pelajar agar lebih berpengetahuan tentang perkembangan di Malaysia dan di arena antarabangsa.

Pertandingan debat pada tahun ini akan diadakan mengikut format ‘ala Parlimen' yang diilhamkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Format pertandingan ini adalah gandingan antara format perdebatan Debat Australasian dengan Debat Dunia dan menjadi begitu popular di kalangan pendebat-pendebat sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi dan sampai ke kemuncaknya, apabila format ini diterima secara rasmi untuk pertandingan Debat Asia (Asian Debating Championship).

Pertandingan akan melibatkan 20 IPTA dan 4 IPTS. Sebanyak tiga kategori yang akan dipertandingkan iaitu Bahasa Melayu (Utama dan Muda), Bahasa Inggeris (Utama dan Muda) dan Bahasa Arab. Semua pertandingan akan dijalankan serentak di beberapa lokasi di dalam kampus utama UTHM.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah akan diadakan pada 22 Disember 2010 dan bakal disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim yang juga merupakan Canselor UTHM. Pertandingan akhir Debat DiRaja Bahasa Melayu (Utama) bakal berlangsung bersempena dengan majlis perasmian tersebut.

Sementara itu pada 17 Disember 2010 akan diadakan Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah MADUM yang akan diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII), UTHM.

Sebarang maklumat lanjut sila hubungi Cik Ng Wee Fern di talian 07-4537043.

  

Dikeluarkan oleh:

Shafry Salim

Pegawai Perhubungan Awam

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Last Updated ( Khamis, 16 Disember 2010 )